Carian
Google Umum Model Bahasa Raya AI Terbaru – PaLM 2, Menyokong Lebih 100 Bahasa
May 11, 2023 Effi Saharudin

Dengan letusan penawaran produk-produk kecerdasan buatan, salah satu perkara yang menjadi keutamaan dalam menjana pelbagai penghasilan adalah model bahasa raya disebaliknya, atau turut dikenali sebagai LLM (Large Language Model). Dengan langkah ini, kecerdasan buatan boleh memahami apa diperlukan, dan memberikan respon balas yang bersesuaian.

Hari ini, pada acara Google I/O, pihak Google memperkenalkan generasi baharu model bahasa raya mereka, iaitu PaLM 2 (Pathways Language Model 2). Ia akan menjadi asas kepada pelbagai sokongan kecerdasan buatan di Google.

PaLM 2 dikatakan mampu dalam melakukan pelbagai pengiraan, pengaturcaraan, serta menariknya menyokong lebih 100 bahasa melaluinya. PaLM 2 juga akan memberikan sebab serta alasan yang lebih logik kepada pelbagai pertanyaan – berbanding dengan model sebelum ini.

Dari segi pengaturcaraan, PaLM 2 kini memahami dan boleh menjana serta membantu melibatkan lebih 20 bahasa pengaturcaraan. Selain penggunaan awam, PaLM 2 juga turut dibangunkan untuk tujuan khusus – termasuk Google menyatakan telah membangunkan untuk sekuriti dan juga perubatan.

PaLM 2 akan menjana pelbagai produk Google dengan kecerdasan buatan, termasuk Google Bard yang dibuka akses kepada semua bermula hari ini.

Komen