Imej latar belakang mungkin antara kustomasi paling asas dilakukan oleh pemilik peranti untuk menunjukkan personaliti mereka. Ada yang sukakan imej ceria dan ada juga menggunakan wajah orang yang tersayang. Pendek kata selama ini imej latar belakang agak terhad dengan gambar yang di simpan dalam peranti.

Di Google I/O 2023, Google menunjukkan beberapa ciri baharu khusus untuk imej latar belakang sistem operasi Android yang bakal hadir dalam masa terdekat. Selari dengan banyaknya produk kecerdasan buatan (AI) yang diumumkan pagi ini, imej latar belakang Android juga boleh dijana menggunakan AI. Dalam demo yang diperlihatkan, Android boleh menjana imej latar belakang menggunakan beberapa prom yang diberikan pengguna.
Prom pertama ialah apakah gambar yang ingin dijana dan mengikut gaya apa. Beberapa imej dijana dalam masa beberapa saat sebelum boleh digunakan. Menurut Google setiap imej yang dijana adalah unik memberikan kustomasi sebenar.

Sebuah lagi ciri yang tidak kurang menarik ialah Cinematic Wallpaper. Dengan ciri ini imej statik boleh dianimasikan dan dijadikan imej latar belakang. Ia serupa dengan ciri Cinematic yang diberikan kepada Google Photos tahun lalu. Berdasarkan maklumat kedalaman foto, imej nampak bergerak dengan ia kelihatan 3D. Apabila telefon digerakkan, terdapat kesan paralaks yang menjadi imej mempunyai dimensi pada skrin 2D.

Akhir sekali imej latar belakang juga boleh dijana menggunakan emoji. Ciri ini mirip dengan yang wujud pada iOS tetapi dipertingkan lagi. Pemilik bebas memilih emoji yang ingin digunakan sebelum diberikan pilihan gaya, susunan dan corak ia disusun pada imej latar belakang. Lebih menarik ialah imej latar belakang emoji ini interaktif dengan ia berubah saiz apabila ditekan pada skrin.
Seperti biasa kesemua ciri baharu ini akan hadir pada peranti Pixel sahaja terlebih dahulu pada musim luruh bersamaan dengan sekitar bulan September ini.