Google hari ini pada acara Google I/O 2023, secara rasminya memperkenalkan tablet pertama dibawah jenama Pixel, iaitu Pixel Tablet. Tablet ini hadir dengan rekaan minimal, dan menjanjikan pengalaman Android yang dioptimasikan Google, pada skrin bersaiz besar.
Pixel Tablet hadir dengan skrin 11-inci pada resolusi HD penuh, dilengkapi cip Tensor G2 yang turut menguasakan Pixel 7 Pro, memori sehingga 8GB RAM, dan storan 128GB. Untuk rakaman gambar, ia hadir dengan kamera belakang 8-megapixel.
Menariknya juga, Pixel Tablet hadir dengan sokongan multi-akaun, memudahkan anda menggunakan tablet sama dan berkongsi ia dengan ahli keluarga lain.

Pengenalan tablet rasmi dibawah jenama Pixel ini sekaligus memperlihatkan komitmen Google terhadap sistem operasi Android, dan pembangunannya untuk skrin besar. Kebelakangan ini juga, sejumlah pengoptimasian pada aplikasi Google telah diperkenalkan untuk skrin tablet.

Pixel Tablet ini akan dipasarkan di beberapa buah negara yang menawarkan produk Pixel. Di Amerika Syarikat, Pixel Tablet ini ditawarkan pada harga $499, atau sekitar RM2225 mengikut kadar tukaran semasa.