Google I/O 2023 telah pun selesai pada awal pagi tadi. Terdapat banyak perkara menarik diumumkan lebih-lebih lagi berkaitan dengan kecerdasan buatan. Google turut tidak lupa yang Android adalah antara sistem operasi yang dikuasakan dengan AI dan telah mengumumkan beberapa kemaskini Android 14 untuk peranti terpilih.
Pengguna Pixel akan menerima akses Android 14 Beta 2 yang lebih terkini. Tetapi jika anda tidak memiliki peranti ini pengeluar peranti turut telah bekerjasama dengan Google agar pembangun dan pengguna yang pakar boleh menguji Android 14.


Pertama dalam senarai adalah Nothing Phone (1) yang menawarkan pengalaman penggunaan asas. Banyak ciri dan fungsi seperti pengimbas cap jari, lampu Glyph, Screen cast dan banyak lagi masih tidak boleh digunakan. Seterusnya OnePlus 11 yang kali ini tidak ditawarkan ke peringkat global tetapi hanya di Eropah, India dan Amerika Utara.

Oppo Find N2 Flip pula menjadi peranti dengan skrin boleh lipat pertama dunia menerima ujian beta Android 14. Jenama di bawah BBK Electronics seterusnya adalah iQOO 11 dan Vivo X90 Pro yang mana tiada informasi jelas mengenai perisian yang ditawarkan selain kaedah memuat turun.
Akhir sekali adalah Xiaomi 12T, Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro. Biasanya ujian oleh Xiaomi adalah dalam bentuk Android asli dan bukan MIUI. Ini kerana ia masih dalam pembangunan awal dan banyak elemen tema belum disertakan lagi.