Carian
Sony Xperia 1 V Kini Rasmi Dengan Snapdragon 8 Gen 2 Dan Kamera Exmor T Mobile 52MP
May 11, 2023 Fahim Zahar

Hari ini Sony telah melancarkan peranti mercu baharu mereka iaitu Xperia 1 V. Seperti biasa peranti ini akan memfokuskan kepada prestasi dan fotografi tetapi kali ini Sony mendakwa teknologi kamera yang digunakan adalah untuk era baharu.

Peranti ini hadir dengan skrin OLED 6.5″ beresolusi 4K dengan nisbah 21:9 serta menyokong kadar segar semula 120Hz dan paparan HDR. Sony turut menggunakan kaca Gorilla Glass Victus 2 untuk perlindungan yang lebih baik. Xperia 1 V ini dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 yang dipadankan dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB dengan sokongan kad mikro SD.

Untuk kamera yang menjadi fokus utama Sony menggunakan sensor Exmor T baharu yang menggunakan teknologi sensor bertindan untuk kualiti gambar ketika kurang cahaya yang lebih baik. Sensor utama kamera ini adalah 52MP f/1.9 + 12MP f/2.3-f/2.8 telefoto + 12MP 16mm sudut ultra lebar. Kali ini tiada lagi sensor ToF kerana Sony akan bergantung kepada perisian sahaja seperti S-Cinetone dan AI Depth untuk butiran tambahan. Kamera swafoto juga adalah 12MP yang diletakkan di dahi skrin.

Sony turut menawarkan aplikasi Photo Pro dan Video Pro baharu yang kini memfokuskan kepada antaramuka menegak dan bukan lagi melintang. Untuk audio speaker stereo disertakan dengan jaminan ia lebih kuat dan mempunyai bass yang dalam. Port bicu audio 3.5mm juga disertakan sebagai bonus.

Bateri peranti pula adalah 5000mAh dengan pengecasan pantas 30W serta turut menyokong pengecasan nirwayar dan pengecasan nirwayar berbalik. Peranti turut mempunyai sistem penyejukan dengan menggunakan kepingan penyebaran haba yang 60% lebih besar. Turut tidak lupa yang perlindungan IP65/68 masih dikekalkan.

Di pasaran terpilih seperti Eropah Sony Xperia 1 V akan dijual bermula Jun nanti dengan di Malaysia ia akan dijual pada harga RM6399 sebuah.

Komen