Sony turut melancarkan peranti kelas pertengahan mereka hari ini iaitu Xperia 10 V. Menurut Sony peranti baharu mereka ini adalah telefon pintar dengan bateri 5000mAh paling ringan dunia dan ia akan menyertai lambakan peranti lain dengan Snapdragon 695.
Peranti kompak dan ringan ini menggunakan skrin OLED 6.1″ beresolusi FHD dengan kadar segar semula hanya 60Hz. Tetapi Sony memberi kecerahan 1.5x lebih terang dan skrin dilindungi dengan kaca Victus. Binaan peranti juga adalah plastik di belakang dan bingkai untuk memastikan ia kekal ringan.
Cip Snapdragon 695 tadi dipadankan dengan memori 6GB RAM dan storan dalaman 256GB dengan sokongan kad mikro SD. Untuk kamera peranti ini menggunakan sensor 48MP f/1.8 + 8MP f/2.2 telefoto 2x zum + 8MP f/2.2 sudut ultra lebar. Kamera swafoto juga adalah satu lagi sensor 8MP.
Bateri peranti adalah 5000mAh dengan pengecasan USB-PD 21W, port bicu audio 3.5mm masih disertakan dengan sokongan Hi-Res dan speaker stereo pula adalah jenis menghala ke hadapan. Sony turut melindungi peranti ini dengan IP65/68.
Seperti Xperia 1 V, Xperia 10 V juga akan dijual pada Jun nanti dengan harga di Eropah €449 iaitu sekitar RM2195.