Ramai rakyat Malaysia kini rata-ratanya tidak sabar-sabar menantikan kedatangan kugiran Coldplay yang akan mengadakan konsert di Malaysia pada bulan November ini. Terkini, ada berita yang cukup menarik mengenai kumpulan muzik tersebut dan juga dunia IT.
Terkini, lirik kepada salah satu lagu popular mereka telah ditemui didalam salah sebuah fail perisian tegar (firmware) untuk salah satu produk storan SSD mereka, iaitu Kingston KC2000. Bleeping Computer melaporkan bahawa salah seorang penyelidik data telah menemui lirik tersebut didalam sebuah fail .bin yang terkandung didalam fail perisian tegar yang dimuat-turun dari laman web Kingston sendiri.

Lirik yang terkandung didalam fail tersebut ialah sebahagian daripada lirik lagu The Scientist dari album A Rush of Blood To The Head, dan diperlihatkan apabila fail tersebut diimbas. Perisian tegar ini juga dilaporkan telah dilancarkan pada tahun 2020, jadi ia bukanlah sesuatu yang baru, tetapi hanya ditemui baru-baru ini.
Setakat ini, ia tidak diketahui lagi mengapakah jurutera dan pengaturcara storan memuatkan fail dengan lirik lagu Coldplay ini, tetapi ia sebuah kejutan yang agak menarik memandangkan kugiran tersebut baru sahaja mengumumkan jadual konsert mereka, dimana Kuala Lumpur merupakan salah satu daripada lokasi konsert mereka.
- Sumber
- Bleeping Computer