Cari @ Amanz

RedMagic nampaknya ingin melengkapkan ekosistem gaming mereka di Malaysia bagi bersaing dengan Asus ROG Phone. Sebelum ini mereka telah memperkenalkan monitor mini-LED dan hari ini mereka membawa masuk papan kekunci, tetikus, alat kawalan, penyejuk dan set fon telinga.

REDMAGIC Mechanical Keyboard

Papan kekunci gaming ini menawarkan suis TTC Speed Silver V2 yang membolehkan kekunci ditekan dengan pantas. Menariknya papan kekunci ini turut mempunyai skrin untuk kawalan dan akses pantas kepada tetapan serta tombol untuk laras suara. Struktur gasket turut digunakan dan setiap suis adalah jenis hot-swappable. Tidak lupa juga yang sistem lampu RGB turut diberikan.

Harga jualannya adalah RM999 dan anda boleh dapatkannya pada harga RM764 pada 15 Mei nanti.

REDMAGIC Gaming Mouse

Kalau ada papan kekunci mestilah kena ada tetikus. REDMAGIC Gaming Mouse menggunakan sensor PixArt PAW3395 yang terkenal di kalangan tetikus gaming yang menyokong DPI dari 50 ke 26000. Suis pada bahagian kanan dan kiri pula adalah suis mikro GM 8.0 Black Mamba yang menjamin ketahanan sehingga 80 juta kali klik. Rekaan juga adalah jenis ringan iaitu 75g dan mempunyai ketahanan bateri sehingga 100 jam.

Harga jualan adalah RM499 dengan jualan bermula pada 15 Mei. Anda boleh beli pada harga diskaun iaitu RM374 sempena jualan kali pertama ini.

REDMAGIC Shadow Blade Gamepad

Kalau Asus ada ROG Kunai, REDMAGIC ada Shadow Blade Gamepad. Ia adalah alat kawalan permainan untuk disambungkan kepada peranti REDMAGIC menjadikannya seaakn sebuah konsol ROG Ally atau Steam Deck. Ia menggunakan rekaan lutsinar, analog dengan Hal Trigger untuk ketahanan berpanjangan serta menawarkan banyak butang untuk bermain permua dengan penuh imersif dan khusyuk. Shadow Blade Gamepad ini turut boleh mengubah saiz dari 110mm ke 179 mm untuk menyokong pada mana-mana peranti Android.

Harga jualan juga agak menarik iaitu RM499 tetapi anda boleh dapatkan pada harga lebih murah iaitu RM374 pada 15 Mei nanti.

REDMAGIC Cooler 4 Magnetic & Cooler 4

Jika anda mengikuti perkembangan jenama ini anda tahu yang REDMAGIC ICE 4.0 adalah sistem penyejukan terbina pada peranti REDMGIC 8 Pro. Kini mereka bawakan sistem ini ke aksesori kipas penyejuk Cooler 4 Magnetic. Ia direka agar kecil dan tidak mengganggu tangan pengguna, magnetik yang dijamin kuat, mempunyai kuasa 20W dan boleh mencapai tahap sejuk beku  -3 °C darjah.

Versi lebih mampu milik adalah jenis klip ke peranti iaitu Cooler 4. Menggunakan teknologi yang sama tetapi kuasa dihadkan kepada 15W sahaja. Turut didakwa adalah kipas boleh berpusing tanpa bunyi bising iaitu sekitar 33dB.

Harga setiap kipas penyejuk ini adalah RM169 dan RM109. Diskaun pada jualan 15 Mei ini adalah RM141 dan RM109.

REDMAGIC Magic Sound Earphones

Akhir sekali adalah set fon telinga berwayar untuk memanfaatkan port bicu audio pada peranti REDMAGIC. Ia menggunakan pemacu audio 14.2mm dan dikatakan memfokuskan kepada bunyi latar belakang seperti bunyi musuh berjalan atau tembakan agar pengguna lebih peka. Sambungan adalah jenis USB-C dan menggunakan kemasan seakan metalik.

Harga jualan adalah RM99 dan diskaun sebanyak 25% akan diberikan pada 15 Mei ini untuk dibeli pada harga RM74 sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd