Carian
WhatsApp Menapis Panggilan Suara Spam Menggunakan AI Bermula Hari Ini
May 12, 2023 Effi Saharudin

Awal minggu ini Truecaller mengatakan mereka akan mula menyokong ciri menghalang panggilan suara spam dalam aplikasi WhatsApp. Ini dilakukan selepas pengguna di India melaporkan menerima panggilan audio spam yang bertali arus sehingga mengganggu aktiviti harian. Hari ini WhatsApp mengumumkan mereka melakukan kemas kini di belakang tabir untuk mengurangkan insiden ini daripada berlaku.

Menerusi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML) panggilan suara spam akan dapat dikurangkan sehingga 50% menurut WhatsApp. Di India pengguna WhatsApp, panggilan yang mengganggu ini datang daripada nombor yang berdaftar di Indonesia (+62), Vietnam (+84), Malaysia (+60), Kenya (+254) dan Ethiopia (+251). Tindakan pantas diambil oleh WhatsApp selepas Kementerian Teknologi Maklumat India menghantar notis kepada mereka untuk menangani masalah panggilan spam dari nombor antarabangsa ini.

Isu di atas bukan sahaja menghantui pengguna di India tetapi juga di Malaysia dengan terdapat ratusan status rungutan yang dimuat naik ke media sosial. Setakat ini masih tiada kenyataan daripada SKMM atau KKD mengenai isu panggilan spam yang nampaknya dilakukan dari Malaysia sehingga ke menyusahkan ke peringkat antarabangsa.

Komen