Setiap pengeluar pastinya mempunyai kekuatan dan kelainan tersendiri dalam memasarkan produk untuk memikat pengguna. Samalah seperti Huawei yang kini memberi penumpuan lebih mendalam kepada beberapa aspek yang dirasakan penting. Misalnya seperti sentuhan segar pada rekaan yang mengetengahkan konsep klasik dalam sentuhan moden ringkas.
Lebih mengagumkan apabila prestasi juga mantap jika kena pada tempatnya yang juga melibatkan kebolehan fotografi yang baik. Hanya Huawei P60 Pro sahaja yang diumumkan untuk pasaran global termasuklah Malaysia yang juga dijual bermula RM4,699.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
Huawei P60 Pro | |
---|---|
Skrin | 6.67″ LTPO OLED, 120Hz 1220 x 2700 pixels (~444 ppi) |
Pemproses | Snapdragon 8+ Gen 1 4G (4 nm) |
Cip | 1 x 3.19 GHz Cortex-X2 3 x 2.75 GHz Cortex-A710 4 x 2.0 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 12GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | sehingga 512 UFS 3.1 |
Kamera Utama | 48 MP, f/1.4-f/4.0, (lebar), PDAF, OIS 48 MP, f/2.1, (telefoto), OIS, zum optikal 3.5x 13 MP, f/2.2 (ultra-lebar) |
Kamera Swafoto | 13MP f/2.4 |
Bateri | 4815mAh Berwayar 88W Nirwayar 50W Berbalik 7.5W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 4G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM4699 (8GB/256GB) RM5499 (12GB/512GB) |
Cantik, menawan dan premium antara unsur utama untuk peranti mercu ini yang juga tampil menarik dengan rekaan gaya baharu. Ia bukan sahaja nipis malahan turut menerima sentuhan rekaan luaran yang kemas serta baik. Paling ketara untuk Huawei P60 Pro Rococo Pearl yang tampak bergaya dengan penampilan material dan kemasan terkini yang direka mampu mencipta elemen lebih mewah.

Menampilkan rona warna putih secara keseluruhan bagi mewakili rupa cantik mutiara itu sendiri yang sering dijadikan sebagai bahan pembuat perhiasan. Sementara itu gabungan elemen keemasan padanya juga memainkan peranan penting bertujuan bagi menambah seri pada peranti. Tidak hanya mengkhususkan kepada kemasan, koleksi kali ini turut memberi lebih keselesaan menerusi jenis bahan binaan yang digunakan.
Seperti yang pernah diperkatakan, panel belakang ini menggunakan material kasar bertujuan bantu mengurangkan isu kotoran mudah melekat seperti cap jari. Pun begitu ia dilihat masih menimbulkan kerisauan apabila peranti terasa licin sewaktu di genggaman tangan.

Justeru penggunaan kerangka pelindung adalah amat penting bagi mengelakkan berlakunya tragedi yang tidak diingini lalu mengakibatkan perbelanjaan bulanan anda terjejas jika berlaku sebarang kerosakan. Untuk kepelbagaian disediakan juga koleksi Huawei P60 Pro rona hitam supaya nampak tidak terlalu menonjol memandangkan warna sebegini sinonim dengan konsep yang minimalis. Bagaimanapun saya mendapati isu kotoran cap jari mudah melekat pada koleksi ini.

Selanjutnya bahagian yang sama turut menyertakan sistem tri-kamera yang mempunyai rekaan berbeza di antara satu sama lain. Boleh dilihat dengan jelas satu lensa utama yang besar mendominasi bonggol ini dengan konfigurasi 48MP sebagai sensor utama pada peranti.
Kemudian dua lagi lensa diletakkan di atas dan bawah menjadikan peranti nampak seimbang. Lensa di atas adalah 13MP bagi tujuan ultra-lebar, sementara itu lensa di bawah pula sebesar 40MP yang sangat jelas dipadankan dengan sistem zum telefoto periskop.

Meskipun mungkin kelihatan pelik bagi sesetengah orang tetapi ia tetap unik pada pandangan kami. Cuma penjagaan rapi diperlukan bagi memastikan sensor besar pada peranti tidak tercalar. Peranti tahun ini juga menyokong sistem XMAGE yang terkenal mampu menghasilkan gambar berkualiti seumpama model Mate50 sebelum ini. Ia dianggap sebagai ciri menarik memandang industri peranti pintar kini mula bergerak kepada penghasilan sistem kamera bersensor besar.

Bagi menambah rasa premium, peranti ini juga dilengkapi bingkai logam yang keras bersama sisi dibulatkan. Sinonim juga dengan kebanyakan peranti mercu Huawei, skrin hadapan berlubang dan melengkung pada kedua-dua sisi turut digunakan pada tahun ini. Dengan rekaan ini peranti kelihatan lebih simetri dari hadapan, pada masa sama ruang yang lebih besar boleh digunakan bagi mempamerkan pelbagai kandungan. Selain itu ia juga dipasang dengan lapisan kaca Kunlun yang sama keras dengan model Mate 50 Pro sebelum ini.

Memilih saiz skin yang besar 6.7-inci OLED beresolusi FHD+, pengalaman penggunaan peranti menjadi lebih baik dengan adanya sokongan kadar segar semula tinggi 120Hz yang bersesuaian dengan konsepnya sebagai sebuah peranti kelas mercu. Walaupun begitu, pengguna yang lebih mementingkan hayat bateri pula boleh sahaja menyahaktifkan skrin 120Hz ini kemudiannya memilih fungsi Dynamic yang membolehkan kadar segar semula ini berubah secara automatik bergantung pada kandungan semasa. Kemudian tetapan standard pula membolehkan pengguna menggunakan skrin 60Hz sepanjang masa.

Bagi yang melanggan kepada Netflix pula, kandungan resolusi HD boleh distrim kerana peranti dilengkapi sistem DRM Widevine L1. Peranti juga menggunakan sistem pengimbas cap jari terbina di dalam skrin. Pujian diberikan untuk kemampuannya berfungsi dengan baik bersama tindak balas yang cepat. Kadar masa menyahkunci yang ditawarkan juga berada di tahap memuaskan dan sebagai alternatif terdapat juga sistem imbasan wajah disediakan.
Seterusnya sisi kanan menempatkan butang kuasa dan laras audio dengan binaan cukup baik serta seronok ditekan. Sisi bertentangan pula dilihat kosong yang kemudiannya ruang slot SIM pula boleh dijumpai pada bahagian bawah peranti.

Melaluinya hanya sokongan slot dwi-sim diberikan bersama ruang tambahan menerusi kad NM. Sisi yang sama turut menempatkan pembesar suara sejenis stereo, lubang mikrofon dan port sambungan USB-C. Sokongan pemancar infra merah untuk kawalan jauh turut dikekalkan pada peranti tahun ini lalu menjadikan Huawei sebagai sebahagian kecil masih melihat terdapat keperluan untuk meletakkan ciri berkenaan pada peranti mereka.
Keseluruhan tubuh peranti melepasi piawaian IP68 maka tiada kerisauan mudah rosak jika anda terperangkap dalam hujan atau tertumpah air. Terdapat juga sepasang speaker stereo dengan satu di bahagian bawah dan gagang telinga. Audio tidak begitu seimbang kerana speaker bawah adalah lebih lantang. Tiada sokongan Dolby Atmos sebaliknya ia digantikan dengan sistem Histen yang beroperasi apabila aksesori audio dipasang.
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Apa yang saya suka? Sudah semestinya mengenai binaan dan skrin utama pada peranti ini. Saya menyukai kemasan dan kualiti bahan yang digunakan yang mana bukan sekadar nipis malahan baik sesuai dengan kelas premium. Hal ini juga sebenarnya memang sudah boleh dijangka khususnya bagi segmen peranti kelas mercu Huawei di bawah siri P dan Mate.
Ini dipadankan lagi dengan penggunaan warna yang tidak terlalu menonjol juga telah mempraktikkan kesederhanaan namun masih berjaya mengekalkan ciri yang estetik. Bingkai kukuh dibulatkan yang mengelilingi peranti memberi keselesaan berpanjangan sewaktu di genggaman tangan. Kedudukannya mudah diakses oleh jari dan butang yang digunakan memberikan tindak balas yang baik.

Skrin utama pula mempunyai kualiti yang baik dengan kemampuan memaparkan paparan cukup terang dan cantik. Penghasilan semula warna juga bermaya untuk pengalaman tontonan yang menyenangkan. Bertambah baik apabila skrin juga mampu memaparkan butiran yang jelas. Pada masa sama penggunaan peranti di luar bangunan juga memuaskan kerana saya tidak mempunyai sebarang masalah dengannya termasuk di bawah cahaya matahari terik.

Penggunaan skrin 120Hz pula membuatkan peranti terasa sangat responsif ketika digunakan tanpa isu lengah masa yang mengakibatkan isu animasi nampak perlahan. Jika anda pernah menggunakan peranti mercu daripada Huawei sebelum ini, anda akan tahu apa yang boleh diharapkan di sini.
Keputusan Huawei menyediakan pilihan lain seperti skrin 60Hz (Low) dan Smart Resolution (automatik) menerusi tetapan boleh saya puji. Hal ini sangat membantu dalam mengurangkan penggunaan bateri pada peranti, lalu pengguna tidak akan dibelenggu kerisauan kehabisan bateri dengan cepat.
Namun begitu dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 4G kelemahan Huawei P60 Pro mula kelihatan. Kita sering melihat bahawa kebanyakan peranti mercu pada tahun ini dikuasakan dengan cip pemprosesan terkini misalnya seperti Snapdragon 8 Gen 2.
Tetapi Huawei mengambil keputusan untuk kekal dengan cip sama yang juga pernah digunakan pada Mate50 Pro tanpa sokongan 5G. Kami membandingkan peranti ini dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 pada Poco F5 Pro dan Xiaomi 12T Pro yang mana berikut adalah keputusan markah :
AnTuTu 3D
- Huawei P60 Pro – 1,016,994
- Poco F5 Pro – 1,049,997
- Xiaomi 12T Pro – 1,071,162
Geekbench 6
- Huawei P60 Pro – 1387/3544
- Poco F5 Pro – 1868 / 5272
- Xiaomi 12T Pro – 1314 / 4322
3D Mark Wildlife Extreme
- Huawei P60 Pro – 2666
- Poco F5 Pro – N/A
- Xiaomi 12T Pro – N/A
Keputusan Huawei mengekalkan cip pemprosesan yang sama mungkin menyebabkan ramai di antara kita yang melihat keadaan ini sebagai kelemahan, termasuklah pihak kami sendiri. Bagaimanapun tidak bermakna peranti tidak mampu berfungsi dengan baik malahan cip Snapdragon 8+ Gen 1 juga sebenarnya masih lagi cukup berkuasa ketika ini. Skor yang dicatatkan mungkin bukanlah yang paling tinggi namun kesemua ini ialah markah penanda aras ujian sintetik.

Malahan penggunaan peranti ini dalam dunia nyata tidak memberi masalah yang kronik. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak mengalami sebarang masalah seperti sela masa atau kesukaran menjalankan aplikasi. Tidak dinafikan pengalaman ini turut disumbang oleh skrin 120Hz yang adaptif. Membuka banyak aplikasi secara serentak dan tukar antara satu sama lain juga boleh dilakukan dengan pantas.

Pengalaman menguji beberapa permua bersama tetapan grafik tinggi juga menunjukkan peranti mampu berfungsi dengan baik. Tetapan khusus permainan MLBB menyediakan tetapan grafik mencapai High + kadar bingkai Ultra. Ini dipadankan pula dengan kebolehan HD dan HP yang boleh diaktifkan. PUBG Mobile pula menyediakan tetapan tertinggi pula boleh mencapai grafik HDR +kadar bingkai Extreme.
Cuma seperkara saya sedar peranti menjadi panas selepas menggunakan kamera dan aplikasi permua dalam masa yang lama. Permasalahan ini boleh dirasai dengan ketara apabila tiada kerangka pelindung digunakan pada peranti.

Justeru bagi mereka yang mencari peranti yang lancar, P60 Pro boleh dijadikan pilihan yang tidak mengecewakan. Kekurangan sambungan 5G juga boleh dianggap bukan masalah besar memandangkan masih ada segelintir daripada pengguna yang tidak begitu mementingkan ciri berkenaan dalam peranti mereka. Namun jika sebaliknya, iaitu bercanggah dengan apa yang diperkatakan tadi maka peranti ini bukan dipasarkan untuk anda.

Peranti Huawei P60 Pro di tangan kami menggunakan EMUI 13.1 yang merupakan versi terkini sistem operasi kendiri Huawei. Boleh dikatakan agak sukar untuk kami temui perubahan yang besar pada antaramuka baharu ini. Ia masih kelihatan menarik dengan ikon yang ceria dan Huawei juga membenarkan kebebasan mengubahnya mengikut keperluan.


Terdapat juga Smart Personalised Interaction yang membolehkan maklumat diakses secara pantas dengan hanya meleret pada peranti. Seterusnya SuperHub pula memudahkan proses berkongsi fail berbeza format yang kemudiannya dimasukkan ke dalam emel – misalnya secara drag & drop. Widget juga boleh disusun serta diubah saiznya, selanjutnya SuperDevice pula memudahkan kawalan terhadap kesemua peranti yang menyokong ekosistem Huawei.

Walau bagaimanapun, seperti kebanyakan peranti terkini Huawei, kekurangan paling besar yang boleh ditemui pada peranti ialah ketiadaan sokongan GMS. Kekangan ini telah membuatkan pengalaman yang lengkap tidak dapat dinikmati sepenuhnya pada peranti Huawei ini. Namun begitu tidak bermakna Huawei langsung tidak menyediakan penyelesaian lain. Malahan ia masih boleh digunakan seperti biasa menerusi AppGallery namun semestinya terdapat juga risiko keselamatan apabila melibatkan proses muat-turun fail dari pihak ketiga.
KAMERA & KUALITI GAMBAR
Kekuatan utama P60 Pro terletak pada kemampuan sistem fotografi. Sistem tri-kamera digunakan pada tahun ini terdiri dengan kamera Super Ultrasensing 48-Megapixel sebagai sensor utama. Ia juga menggunakan sensor RYYB dan bukannya RGGB tradisional bertujuan membolehkan sensor menerima lebih banyak cahaya, kemudian meningkatkan prestasi fotografi pencahayaan rendah dan waktu malam. Peranti juga dilengkapi sistem XMAGE dengan apertur boleh berubah di antara f/4.0 dan hingga ke f/1.4 bersama OIS.

Seterusnya sensor kedua 13-Megapixel MP f/2.2 adalah untuk sudut ultra lebar. Akhir sekali, sensor 48-Megapixel pula dipadankan dengan mekanisme periskop yang memberikan kemampuan zum optikal sehingga 10X dan digital 100X.
Sistem kamera ini juga dikuasakan dengan pemprosesan Huawei XD Fusion Pro serba baharu yang bantu meningkat kualiti dan butiran pada imej. Menariknya, kebolehan makro turut boleh digunakan pada lensa periskop yang membolehkan gambar makro diambil daripada jauh.

Pada bahagian hadapan pula kamera sebesar 13MP f/2.4 digunakan dan diletakkan di dalam sebuah lubang pada kamera. Seperti peranti Huawei yang lain, gambar statik hanya boleh diambil pada nisbah 4:3, 1:1 dan skrin penuh. Dari segi fungsi pula, mod kamera yang pelbagai guna disediakan seperti Aperture, Night, Portrait, Photo, Video, Pro dan More.
Tiada sokongan 8K sebaliknya format rakaman video disokong hanya 4K/60FPS dengan penstabilan terbina. Kelebihan lain turut boleh ditemui apabila peranti turut membenarkan rakaman dengan skrin bernisbah 16:9 dibuat pada resolusi 4K yang dianggap menarik berbanding tangkapan gambar statik.





Sentuh mengenai kualiti pula gambar diambil seperti dijangka yang mana cukup baik dengan penghasilan semula warna dan julat dinamik memuaskan. Kualiti imej juga menunjukkan keperincian imej yang tajam dalam kebanyakan keadaan. Tiada masalah dedahan berlebihan dapat dilihat pada sumber cahaya, malahan kontras mampu dikekalkan dengan baik.
Perubahan warna di antara lensa utama ke sudut lebar tidak menunjukkan perbezaan yang ketara. Begitu juga dengan masalah hingar yang terkawal dan hampir tidak kelihatan dalam sesetengah keadaan. Kesemua gambar diambil dengan kecerdasan Master AI diaktifkan dan boleh dinyahaktif sekiranya perlu.


Keupayaan Potrait Mode juga menarik yang boleh digunakan dengan pelbagai pilihan penuras terbina seperti Circles, Hearts, Swirl, Photo Booth dan Stage Lighthing. Tangkapan gambar portrait bagaimanapun memberi hasil yang tidak konsisten. Jelas boleh dilihat kamera peranti gagal membezakan subjek dan latar belakang dalam pencahayaan rendah dan keadaan yang berserabut.
Misalnya salah satu gambar di atas yang menunjukkan tanglung merah di belakang tidak dikaburkan sepenuhnya. Namun tidak kesemuanya memberi hasil yang tidak bagus kerana masih ada juga di antaranya yang memuaskan. Dengan syarat gambar yang diambil perlu berlatar belakangkan keadaan yang santai yang kemudiannya juga akan menjalani pasca-proses agak agresif.










Penggunaan kebolehan zum pula hanya praktikal sehingga 10X sahaja. Melangkau tahap zum ini mengambil gambar menjadi sukar diambil dan pergerakan yang sedikit boleh mengakibatkan tahap zum beralih terlalu ketara. Kemudian mod makro juga berfungsi cukup baik dengan kualiti di tahap memuaskan. Peranti juga mampu mengambil gambar waktu malam yang menyerlah dengan subjek kelihatan terang dan hingar terkawal.
Mod makro juga memuaskan dengan butiran yang dijaga cukup baik namun masih belum ditahap yang sempurna. Kamera cukup bijak mengesan objek terletak hampir dengan lensa dan segera menyarankan mod makro diaktifkan. Tidak ketinggalan hasil swafoto juga baik dengan ciri kecantikan terbina yang boleh dilaras mengikut kesesuaian.




BATERI
Huawei bukan sahaja menaik taraf kapasiti bateri, malahan memberi lebih pilihan pengecasan yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna. Bateri sebesar 4815mAh adalah lebih besar berbanding 4,360mAh pada Huawei P50 Pro sebelum ini. Peningkatan juga diberikan kepada sistem pengecasan berwayar 88W yang kini lebih pantas. Seterusnya turut disertakan sokongan pengecasan nirwayar 50W yang menjadikannya nilai tambahan lain pada peranti itu sendiri.

Pengecas diberikan dengan setiap pembelian bersama dengan kabel USB-A ke USB-C. Menariknya di sini apabila rekaan kepala pengecas ini memuatkan dua jenis sambungan yang merangkumi sambung USB-A dan USB-C yang memberi kelebihan kepada pengguna mengecas pelbagai jenis peranti.

PERANTI PESAING
Huawei P60 Pro | Poco F5 Pro | Xiaomi 12T Pro |
6.67″ LTPO OLED, 120Hz 1220 x 2700 pixels | 6.67″ AMOLED, WQHD+, 120Hz, Dolby Vision | 6.67″ AMOLED, FHD+, Dolby Vision, 120Hz |
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 |
Adreno 730 | Adreno 730 | Adreno 730 |
12GB LPDDR5 | 8/12GB LPDDR5 | 8/12 GB LPDDR5 |
256/512 UFS 3.1 | 256/512 UFS 3.1 | 128/256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 48 MP, f/1.4-f/4.0, (lebar), OIS 48 MP, f/2.1, (telefoto), OIS, zum optikal 3.5x 13 MP, f/2.2 (ultra-lebar) 4K/30fps | Kamera Utama 64MP f/1.79, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 2MP f/2.4 (Makro) 8K 24p | Kamera Utama 200MP, f/1.69, OIS (Sudut Lebar) 8MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 2MP, f/2.4 (Makrol) 8K 24p |
Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.45 | Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.45 | Kamera Hadapan 20-Megapixel f/2.24 |
IP68 | IP68 | IP68 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
4815mAh (Berwayar 88W) | 5160 mAh (Berwayar 67W) | 5000 mAh (Berwayar 120W) |
RM 4699 (8/256GB) RM 5499 (12/512GB) | RM 2099 (8/256GB) RM 2199 (12/256GB) RM 2399 (12/512GB) | RM 2699 (8/128GB) RM 2999 (12/256GB) |
APA DI DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Huawei P60 Pro.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pengecas 88W (Sokong sambungan USB A & C)
- 1x Manual Pengguna.
- 1x Kerangka Silikon.
- 1x Pin SIM.
KESIMPULAN
Penawaran pada Huawei P60 Pro menjadi menarik sekiranya kena pada tempatnya. Maksud saya di sini, sekiranya anda mahukan peranti berkuasa yang lancar dan kemampuan fotografi terbaik. Huawei P60 Pro boleh dijadikan salah satu pilihan yang baik. Cip yang digunakan mungkin ketinggalan satu generasi, namun masih mampu berfungsi dengan baik. Sistem dan perisian kamera yang dinaik taraf juga menarik. Ketiadaan sensor 1-inci dan sokongan Leica pada sistem kamera tidak bermakna hilangnya nilai menarik pada peranti.

Malahan Huawei mengambil pendekatan berbeza dalam menentukan kelebihan pada produk menerusi sistem XMAGE sendiri yang mampu sahaja mengekalkan pendirian kemampuan fotografi Huawei yang cukup dikenali ramai. Begitu juga dengan keputusan menaiktaraf kapasiti bateri dan sistem pengecasan kini menjadi peranti boleh digunakan dengan lebih lama. Bukan itu sahaja kepala pengecas yang menyokong dua sambungan port berbeza sama ada USB-A atau USB-C menjadikannya mudah digunakan bersama pelbagai peranti lain.

Menjadi lumrah juga dalam dunia ini tiada perkara yang sempurna, samalah seperti peranti ini sendiri. Tiadanya sokongan Google Mobile Services (GMS) dan rangkaian 5G menjadi antara dua kelemahan utama pada peranti ini. Namun Huawei menyediakan alternatif lain menerusi AppGallery dengan integrasi Petal Search secara terus untuk memuat-turun aplikasi. Seleksi aplikasi padanya juga kini semakin baik dan diperluaskan dengan lebih banyak pilihan aplikasi popular. Tetapi prosesnya memerlukan dua langkah tambahan berbanding Play Store.
Berkaitan rangkaian 5G pula, tidak dinafikan ia juga menjadi keutamaan namun masih terdapat juga di antara pengguna yang tidak menjadikannya sebagai keutamaan. Hal ini boleh dilihat masih wujudnya lambakan peranti LTE di pasaran ketika ini yang menunjukkan ianya masih mempunyai ruang di era 5G. Cuma kekurangannya ia tidak boleh digunakan untuk jangka masa yang panjang.
PRO
- Skrin 120Hz adaptif.
- Sistem kamera yang dipertingkatkan.
- Bateri dan pengecasan dinaiktaraf.
- Speaker stereo.
KONTRA
- Skrin melengkung bukan untuk semua.
- Tiada GMS.
- Tiada 5G.
- Tiada bicu audio.
