Infinix dalam persediaan hadir dengan peranti baharu lagi menerusi siri Note 30. Ia bagaimanapun masih belum dilancarkan di mana-mana pasaran lain, dalam masa sama maklumat mengenai perkakasan dalaman begitu terhad buat masa ini.

Setakat yang diketahui, peranti akan dilengkapi teknologi All-Round FastCharge yang menyokong sistem pengecasan berwayar 68W dan nirwayar 50W. Ini juga peningkatan berbanding peranti Note 12 2023 terdahulu yang menyokong pengecasan berwayar 33W tanpa kebolehan mengecas secara nirwayar.
Rekaan peranti juga belum diperlihatkan secara rasmi namun ia telah tertiris dalam imej sebenar yang tular. Ia memperlihatkan Infinix Note 30 dalam warna ungu yang dilengkapi sistem tri-kamera utama. Ini dipadankan pula dengan panel hadapan sejenis rata dan berlubang yang juga memuatkan kamera swafoto tunggal.

Terdapat desas-desus mengatakan cip MediaTek Helio G99 mungkin digunakan pada peranti. Pilihan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB turut diberikan, di samping kapasiti bateri sebesar 5000mAh. Bagi melihat sejauh mana kebenarannya nantikan kemaskini selanjutnya daripada pihak Infinix sendiri.