Cari @ Amanz

Cuba ‘mencabar’ status quo atau kebiasaan, itulah gambaran secara umum tentang salah satu syarikat penyedia perkhidmatan mudah-alih digital tempatan ini. Tetapi apakah ia? Tidak lain dan tidak bukan, sudah tentulah Yoodo yang juga merupakan jenama telekomunikasi digital diselia di bawah syarikat CelcomDigi buat masa ini.

Sebagai pengguna atau tidak, kami pasti anda sedia tahu terdapat hal yang berbeza mengenai penawaran Yoodo berbanding syarikat telekomunikasi lain. Di mana mereka memberi kebebasan kepada pengguna dalam menentukan produk atau perkhidmatan disediakan mengikut cita rasa serta kemampuan. Perkara ini dilihat menarik berbanding pelan-pelan tetap atau kontrak yang mana tidak semua produk disediakan menjadi keperluan pengguna.

Menerusi sesi temubual eksklusif Amanz bersama Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun telah membincangkan pelbagai topik yang meliputi perkembangan baharu, hala tuju dan fokus pada ketika ini. Dalam masa sama beliau turut berkongsi perancangan masa hadapan Yoodo dalam usaha mencipta pengalaman pengguna yang benar-benar di luar jangkaan. Mari ikuti bual bicara khas ini untuk ketahui lebih lanjut.


Amanz : Yoodo merupakan sebuah syarikat telekomunikasi yang masih “muda” di Malaysia. Bagaimana perkembangannya setakat ini, dan apakah keunikkan yang diterapkan dalam memberikan kelebihan kepada Yoodo berbanding lain?

CTM, Yoodo: Sebelum masuk ke perkongsian lebih mendalam, ada baiknya saya bercerita sedikit mengenai Yoodo. Seperti diketahui ramai, Yoodo merupakan penyedia perkhidmatan mudah-alih digital tempatan yang menyediakan kebolehan mengubah-suai sendiri pelan data ikut keperluan. Ini bermakna pengguna boleh mengubah-suai produk disediakan sama ada data, panggilan atau sms, yang seterusnya turut memberi ruang ideal untuk mereka membuat pilihan.

Misalnya seperti pengguna ingin membeli data sebanyak 20GB pada bulan ini. Kemudian boleh pilih sama ada ingin menambah apa-apa atau sebaliknya pada masa yang mendatang adalah bergantung kepada keperluan masing-masing. Jadi inilah tujuan dan misi Yoodo yang paling utama. Ini sekaligus menjadikan penawaran kami agak unik dengan kombinasi pelan berjumlah jutaan pilihan – menjadikan Yoodo lebih unik kerana berbeza dengan syarikat telekomunikasi lain yang menetapkan pilihan dan sekadar menawarkan sekitar beberapa pilihan pelan yang dipaksa perlu dilanggan pengguna, walau tidak sesuai sepenuhnya kepada mereka.

Lantaran itu apabila kami melancarkan apa-apa produk baharu, ia mestilah mempunyai elemen value proposition yang sama iaitu digital dan boleh diubah suai. Malahan pendekatan ini juga telah digunakan pada produk-produk sedia ada, kemudian pengguna boleh membeli sebarang add-on melalui papan pemuka aplikasi Yoodo seperti spotify, PUBG, Nextflix dan sebagainya.

Begitu juga dengan produk baharu Yoodo yang dijangka hadir beberapa bulan mendatang, di mana Yoodo akan membolehkan pengguna mengubah billing cycle (kitaran masa bayaran) masing-masing. Maksudnya, kalau sekarang billing cycle tetap sehingga 30 hari, kelak pengguna diberi pilihan untuk mengubahnya ikut kesesuaian sendiri, misalnya seperti mencapai 90 hari atau lebih. Sudah tentu, ianya menarik dan semakin panjang billing cyle, semakin banyak ganjaran serta diskaun mungkin disediakan.


Amanz : Bagaimana dengan era 5G yang kini menjadi fokus untuk semua syarikat telekomunikasi?

CTM, Yoodo : 5G bukan sahaja sesuatu yang menarik bahkan mempunyai banyak manfaat. Bagi meringkaskanya, 5G mampu menawarkan pengalaman sambungan lebih baik untuk pengguna temasuklah meningkatkan kelajuan, mengurangkan kependaman dan kualiti rangkaian yang konsisten. Jadi bagaimana ia memberi nilai kepada pengguna?

Baiklah contoh mudahnya, katakan sekarang Yoodo mempunyai pilihan add on untuk Netflix. Ini bermakna anda boleh menonton video menerusi telefon pintar dan secara teori boleh menstrim Netflix dalam 4K dengan mudah. Secara tidak langsung, perkara ini dapat membuka peluang kepada Yoodo untuk merancang produk dengan pelbagai tawaran 5G yang mampu memenuhi keperluan penstriman yang semakin meluas misalnya.

Proses yang sama juga berlaku bagi permainan mudah-alih (permua), yang mana seperti yang kita tahu Yoodo banyak terlibat dalam segmen berkenaan. Kalau anda memang seorang gamer tegar, pastinya tahu mengenai segala istilah permainan seperti ping rendah, kadar pendam rendah dan lain-lain. Di sini, 5G akan menjadikan pengalaman permainan yang ditingkatkan yang bermakna Yoodo juga akan hadir dengan produk memfokuskan elemen-elemen permua yang bersesuaian.

Pada masa yang sama, kalau sedar, evolusi 5G juga telah menyumbang ke arah penggunaan teknologi Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) yang semakin meluas. Namun tidak banyak aplikasi yang menyokong buat masa ini. Malahan kalau anda memiliki salah satu daripadanya, ia memerlukan rangkaian yang stabil serta pantas untuk berfungsi dengan baik.

Jadi saya merasakan 5G berpotensi memudahkan pertumbuhan industri baharu seperti AR dan VR. Di samping membolehkan kesalinghubungan lebih baik di masa hadapan misalnya seperti manusia dengan mesin dan juga mesin dengan mesin.

Yoodo

Selain itu 5G juga membolehkan penggunaan teknologi yang lebih canggih di dalam pelbagai bidang industri seperti automotif misalnya. Maksud saya di sini, kami sebagai syarikat telekomunikasi boleh menjadi tulang belakang dalam menyediakan teknologi yang memerlukan sambungan lebih baik.

Dalam erti kata mudahnya, 5G boleh mempertingkatkan kerjasama baharu yang boleh diteroka bersama oleh pelbagai sektor industri dan syarikat telekomunikasi termasuklah automotif, perubatan dan pertanian.


Amanz: Yoodo juga menawarkan 5G bukan? Bagaimana setakat ini?

CTM, Yoodo : Benar, Yoodo sendiri juga telah menyediakan percubaan percuma perkhidmatan 5G untuk masa terhad. Di mana liputan internet menggunakan rangkaian Celcom yang kini dikenali sebagai CelcomDigi memandangkan kami juga sebahagian daripadanya. Ia tidak tersedia secara automatik, sebaliknya pengguna perlu membeli data atau melanggan semula sekurang-kurangnya 10GB untuk mengakses 5G.

Pengguna hanya perlu membuka aplikasi untuk membeli atau melanggan semula data, kemudian tandakan di bahagian pas percubaan 5G yang menandakan mereka setuju untuk mencuba. Tetapi mereka juga perlu memastikan telefon pintar digunakan menyokong 5G bagi menikmatinya.

Asalkan menyokong 5G, maka ia boleh sahaja digunakan di kawasan atau zon yang mempunyai perkhidmatan itu. Percubaan ini telah mula diberikan sejak pertengahan Februari yang lalu, tetapi kami masih menunggu masa yang sesuai bagi melancarkan pelan sebenar untuk 5G.


Amanz : Berbeza dengan beberapa syarikat lain, Yoodo agak aktif dalam arena esukan. Mengapa arena ini menjadi pilihan?

CTM, Yoodo : Sebagai syarikat penyedia perkhidmatan mudah-alih digital, Yoodo juga menyasarkan pengguna gaya moden. Maksudnya di sini pengguna yang celik dan mahir dengan teknologi terkini, di mana boleh menguruskan pelbagai hal menerusi aplikasi misalnya. Dalam keadaan ini kebiasaaanya juga banyak melibatkan generasi muda (Gen Y & Z). Dalam erti kata mudahnya, kami di Yoodo tidak menyasarkan kumpulan generasi tetapi lebih kepada tingkah laku. Apa yang mereka minat dan suka.

Kalau kata misalnya pengguna meminati genre K-POP, kami juga cuba terlibat. Seperkara kalau perasan pengguna digital juga banyak melibatkan diri dengan sukan elektronik atau esukan yang boleh disifatkan sebagai aktiviti sukan tanpa sempadan. Justeru inilah yang mendorong Yoodo untuk terlibat di dalam segmen tersebut. Di sini Yoodo akan menyediakan kualiti rangkaian serta produk yang baik untuk pengalaman permainan yang menyenangkan. Selain itu Yoodo juga selalu terlibat secara rasmi terlibat di dalam kejohanan e-sukan, dalam masa sama turut berkesan untuk membina kesedaran jenama.


Amanz: Bercakap mengenai esukan, bagaimana perkembangan untuk pasukan esukan Yoodo setakat ini?

CTM, Yoodo : Perkembangan mengenai pasukan esukan Yoodo pula, kami telah mengumumkan pasukan baharu Yoodo Alliance sebelum ini. Yoodo bekerjasama dengan Alliance, sebuah organisasi esukan antarabangsa di Sweden untuk memperkenalkan esukan PUBG Mobile tersebut. Mereka juga menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila berjaya merangkul tempat ketiga dalam Liga Pro PUBG Mobile (PMPL) SEA Musim 4 dan Liga Pro PUBG Mobile – MYSG Musim 4: Akhir.

Selain itu Yoodo juga aktif terlibat dalam permainan Mobile Legend Bang Bang (MLBB) menerusi skuad ‘Yoodo Red Giants‘. Untuk konteks tambahan di sebalik nama, ia menarik kerana Red Giants merupakan nama panggilan Selangor FC, iaitu kelab bola sepak Selangor – dan gabungan bersama Yoodo sebagai salah satu penaja utama skuad berkenaan.

Selepas berbincang, kedua-dua pihak mempunyai tujuan yang sama, di samping juga mempunyai kebolehan dan bakat yang boleh dipindahkan ke arena esukan. Dalam masa sama, kami juga mempunyai pakar esukan yang boleh membantu membantu meningkatkan penglibatan dalam segmen berkenaan.


Amanz : Kami juga perasan baru-baru ini, yang mana Yoodo turut seperti berminat dalam arena vtubers. Boleh ulas mengenainya?

CTM, Yoodo : Bercakap mengenai Vtubers (Virtual YouTuber), kami masih belum melancarkannya sepenuhnya. Justeru saya tidak boleh komen lanjut mengenainya. Yoodo secara umumnya sebuah syarikat yang inovatif, justeru itu kami akan sentiasa terlibat dalam banyak perkara baharu.

Ini termasuklah produk digital baharu, malahan bagaimana cara kami membuat pemasaran juga memerlukan inovasi yang baharu. Berbalik kepada Vtubers, ia merupakan satu inovasi baharu yang menjadi pengaruh maya dan kami ingin mencubanya. Tetapi kami belum melancarkan sepenuhnya kerana masih dalam pembangunan projek yang belum mempunyai hasil akhir setakat ini.


Amanz: Bagaimana Yoodo memastikan pelanggan sentiasa berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan?

CTM, Yoodo : Sebagai syarikat telekomunikasi, kita perlu memastikan perkhidmatan yang diberi adalah baik. Sama ada hal yang melibatkan perkhidmatan rangkaian mahupun sambungan. Kami juga bekerjasama dengan syarikat induk CelcomDigi bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan dapat mempamerkan kualiti yang memuaskan dalam kalangan pengguna.

Kemudian sudah tentulah perkhidmatan penggunaan pelanggan. Misalnya jika pelanggan mempunyai masalah kami harus membantu dan menyelesaikannya dengan cepat. Tindakan ini juga hanya secara tidak langsung membuatkan para pelanggan rasa dihargai dan seronok menggunakan perkhidmatan kami. Dalam masa sama mereka juga akan sentiasa pihak kami sentiada ada untuk membantu, tidak kira apa jua kesulitan dihadapi.

Keutamaan seterusnya, memastikan pelanggan kekal setia dengan menyediakan banyak tawaran dan diskaun yang menarik. Sebagai contoh, sekarang kami sedang membuat tawaran menarik untuk permainan MLBB, yang mana pengguna boleh memilih add on dengan hanya RM1 untuk 20GB data. Ini merupakan salah satu tawaran menarik lebih menjimatkan berbanding harga asalnya iaitu RM3. Kami menyediakan tawaran menarik sebegini dalam masa tertentu dan lihat apa hasilnya.

Seterusnya kami juga komited untuk memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berubah dengan menyediakan produk serta idea baharu. Misalnya seperti apa yang saya terangkan di awal bual bicara ini mengenai billing cycle (kitaran masa bayaran). Di mana pengguna kelak boleh memanjangkan kitaran masa bayaran yang kami rasakanya akan menjadi penawaran yang menarik. Kami juga menjanjikan lebih banyak tawaran menarik bagi mereka yang kekal setia.

Kami di Yoodo juga sentiasa menghargai pelanggan dengan menyediakan pelbagai hadiah menarik menerusi kempen giveaway, Yoodo Belanja. Kempen ini kebiasaannya diadakan setiap bulan dengan menawarkan pelbagai baucar, tiket dan sebagainya secara percuma. Kami juga telah bekerjasama dengan rakai kongsi dalam pelbagai cara seterusnya berpeluang menawarkan pengguna diskaun menarik sama ada untuk melancong, bersantai dan sebagainya.

Sebagai contohnya, pengguna membeli sebanyak 10 add on dan kami menambah satu lagi add on yang diberikan secara percuma. Pada saya sendiri, inilah yang membuatkan Yoodo tampil berbeza berbanding yang lain.


Amanz : Jadi, apa lagi antara inovasi dan pembaharuan yang kami boleh lihat?

CTM, Yoodo : Perancangan seterusnya sudah tentulah kami akan terus melancarkan produk baharu. Kemudian kami juga ingin memastikan aplikasi lebih mesra pengguna, di mana lebih banyak penambahbaikan yang boleh dibuat dari masa ke semasa. Contohnya sekarang proses pendaftaran SIM memerlukan pengguna untuk mengimbas kod diberikan, seterusnya masa yang diambil adalah sekitar 5 hingga 6 minit. Ia sedia pantas jikalau dibandingkan dalam industri, dan Yoodo terus melihat untuk menambah-baik dan mempercepatkan lagi proses berkenaan.

Kami di Yoodo sedang mencari cara bagaimana untuk memendekkan jangka masa tersebut, mungkin dengan cara menaik-taraf kebolehan imbasan kod ini. Dalam masa sama, kami juga telah mengubah rekaan untuk invois bil pelanggan menjadi lebih ringkas. Sebabnya sebelum ini ada pelanggan yang mengadu mengenainya dan kini telah diubahsuai menjadikan ia lebih ringkas dan mudah difahami. Pada Yoodo, pelanggan adalah penting dan pengalaman yang baik perlu diberikan.

Seperkara lagi, Yoodo juga akan terus meningkatkan landskap pemasaran gaya hidup yang berkaitan dengan gaya hidup penguna dengan menyediakan lebih banyak aktiviti melibatkan komuniti. Ianya merangkumi aktiviti yang melibatkan esukan, hiburan dan lain-lain.

Menyentuh sedikit mengenai ChatGPT yang kini dibincangkan secara meluas, ia dilihat tidak memberi kesan mahupun menjejaskan setakat ini. Malahan telah memberi idea baharu buat kami. Buat masa ini, kami tidak mengimplementasi lagi penggunaan dalam operasi. Tetapi, penggunaan kecerdasan buatan dan sebagainya membuka ruangan untuk perkhidmatan lebih baik, sebagai contoh dalam penyediaan khidmat pelanggan dan lain-lain.

Buat masa ini juga, saya tidak boleh memberi komen mengenai CelcomDigi. Ramai mungkin sedia maklum berkenaan arahan yang telah dikeluarkan oleh SKMM berkenaan penyatuan CelcomDigi, dan kesannya kepada Yoodo. Proses lanjutan berkenaan operasi perniagaan masih berlaku, dan kami tidak dapat berkongsi berkenaan dengannya buat masa ini. Tetapi, saya boleh cakap yang Yoodo akan kekal buat masa ini. Satu-satunya perkara yang pengguna bakal lihat ialah Yoodo akan terus berkembang dalam bidang telekomunikasi dengan menawarkan lebih banyak produk baharu cukup menarik dari masa ke semasa.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd