Hampir semua orang di dunia kini mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun YouTube atau TikTok yang menjadi tempat video peribadi diterbitkan. Majoritinya menggunakan kamera pada telefon untuk menghasilkan kandungan. Tetapi untuk menjadikan penghasilan karya sebuah kerjaya, kelengkapan yang lebih baik adalah perlu. Canon PowerShot V10 ialah sebuah kamera video yang direka khusus untuk golongan YouTuber dan Tiktoker.
Kamera ini mampu mengambil video pada tetapan 4K dan juga melakukan penstriman secara langsung. Sensor 1″ CMOS yang digunakan dipadankan pula dengan lensa f/2.8 dan cip pemprosesan imej DIGIC X. Tubuh V10 direka untuk dipegang dengan mudah dalam tangan dan bersaiz kompak. Terdapat tongkat terbina membolehkan ia diletakkan rata di atas meja sehingga sudut 30 darjah. Skrin LCD sesentuh sebesar 2″ boleh diputarkan ke hadapan untuk swavideo.
Tangkapan gambar statik boleh digunakan pada saiz 15.2MP. Penstriman secara langsung boleh dilakukan dengan bantuan aplikasi Canon PowerShot Connect atau sambungan berwayar pada peranti yang menyokong piawaian UVC (USB Video Class). Canon PowerShot V10 dijual pada harga $430 (~RM1932) sebuah.