Cari @ Amanz

Bertujuan terus memacu pengkomersialan nanoteknologi Malaysia, dua skim pensijilan produk dikenali sebagai NANOTrust dan GRAPHENEVeryfi telah dilancarkan hari ini. Ia merupakan insiatif di bawah program NanoVerify bagi mempercepatkan pertumbuhan nanoteknologi di Malaysia dengan meningkatkan kebolehpercayaan pengguna terhadap produk yang berkaitan nanoteknologi.

Hal ini sekaligus membuka ruang buat para perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang mengintegrasikan teknologi nano dan graphene ke dalam produk sedia ada mendapat kepercayaan masyarakat awam. Dalam masa sama, turut meningkatkan kualiti produk bagi menembusi pasaran lebih luas, sama ada dalam atau global. Kesemua produk pembuatan, termasuklah kosmetik, makanan, automotif dan tekstil yang mengandungi bahan nano boleh memohon untuk skim pensijilan ini.

Menerusi acara yang sama, turut disampaikan skim pensijilan kepada 29 syarikat yang telah berdaftar. Kesemua sijil ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga diiringi oleh Pengerusi NANOVerify Sdn. Bhd., Datuk Fadilah Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NanoMalaysia Berhad, Dr Rezal Khairi Bin Ahmad.

Berkongsi bersama Amanz secara ringkas, borang permohonan boleh didapati secara menerusi laman web rasmi. Pemohon perlu melengkapkannya dan menandatangani secara fizikal. Setelah selesai, borang perlukan dihantar bersama surat sokongan yang diperlukan sama ada menerusi emel mahupun pos. Kami turut difahamkan skim pensijilan ini sah laku sehingga dua tahun yang mana memerlukan pemohon membuat permohonan baharu selepasnya.

Keperluan untuk menghantar semula bahan untuk diuji adalah bergantung kepada kandungan produk, sekiranya terdapat sebarang tambahan produk itu perlulah dihantar semua untuk tujuan penilaian. Masa yang diambil untuk kelulusan skim sijil ini pula bergantung pada jenis produk yang boleh mencapai kira-kira tiga bulan sebelum dimaklumkan semula kepada pemohon.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd