Cari @ Amanz

Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba gaming kelas pertengahan dengan spesifikasi yang cukup bagus untuk tujuan menggerakkan permainan pada resolusi Full HD, MSI Malaysia hari ini mengumumkan bahawa mereka sudah mula menawarkan komputer riba terbaru mereka, iaitu MSI Bravo 15 dan 17 untuk pasaran tempatan.

Siri komputer riba MSI Bravo merupakan sebuah komputer riba dengan gabungan cip pemprosesan AMD dan kad grafik NVIDIA kelas pertengahan untuk mereka yang mahukan sebuah komputer riba gaming yang masih mampu menggerakkan permainan-permainan moden tanpa perlu mengosongkan akaun bank mereka.

Bermula dengan paparan, MSI Bravo 15 dan 17 dilengkapi dengan paparan IPS bersaiz 15 dan 17 inci dengan resolusi Full HD dan juga kadar segar semula 144Hz. Komputer-komputer riba ini juga dikuasakan oleh pilihan CPU AMD Ryzen 5 7535HS dan AMD Ryzen 7 7735HS dengan penawaran memori DDR5 sebanyak 8GB dan storan SSD 512GB.

Dari segi penawaran kad grafik pula, MSI Bravo 17 tampil dengan pilihan NVIDIA GeForce RTX 4060 untuk Bravo 17, manakala NVIDIA GeForce RTX 4050 pula adalah untuk kedua-dua model MSI Bravo 17 dan Bravo 15.

Ia juga tampil dengan ciri MUX Switch dimana komputer riba ini akan menggunakan cip grafik dalam CPU untuk mengaktifkan paparan tanpa perlu menggunakan kuasa tambahan daripada GPU asing.

Kedua-dua komputer riba ini juga dimuatkan dengan dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam USB 3.2 Type-C dan satu palam USB 2.0 Type-A. Sebuah palam HDMI 2.1 juga diperlihatkan, yang boleh digunakan untuk menyambungkan komputer riba ini kepada sebuah paparan skrin beresolusi 4K.

MSI Malaysia mengesahkan bahawa siri komputer riba MSI Bravo 15 dan 17 ini sudahpun memasuki pasaran tempatan, dan ditawarkan pada tanda harga berikut:

  • MSI Bravo 17 (AMD Ryzen 5, NVIDIA GeForce RTX 4050) – RM4699
  • MSI Bravo 17 (AMD Ryzen 7, NVIDIA GeForce RTX 4060) – RM5199
  • MSI Bravo 15 (AMD Ryzen 7, NVIDIA GeForce RTX 4050) – RM4799

MSI juga mengesahkan bahawa MSI Bravo 15 hanya akan ditawarkan melalui kedai fizikal Brightstar Gaming tempatan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd