Nikon Z8 telah dilancarkan secara rasmi sebagai kamera nircermin kompak baharu yang direka khusus buat para pencipta kandungan. Secara umumnya, sebahagian besar spesifikasinya adalah sama seperti sebuah Nikon Z9 sebelum ini. Tetapi tubuhnya dikatakan 30% lebih kecil dan 15% lebih yang menjadikannya mudah dibawa kemana-mana.
Kamera ini dilengkapi sensor 45.7 megapixel bingkai penuh stacked CMOS yang digabungkan dengan cip pemprosesan EXPEED 7 untuk kualiti imej yang luar biasa. Seterusnya ia juga diiklankan mampu merakam video 4K ProRes HDR 12-bit 60FPs atau sehingga 8K 60P yang menggunakan format N-RAW Nikon dengan saiz fail 50% lebih kecil. Z8 juga boleh merakam lebih kurang 125 minit dalam 4KUHD/60P dan lebih kurang 90 minit dalam 8K UHD/30P.
Turut disertakan adalah fungsi Potrait Impression Balance untuk kawalan penghasilan semula warna kulit manusia yang tetap. Dalam masa sama, fungsi Skin Softening dan keseimbangan putih juga kini telah ditambahbaik. Sebagai tambahan terdapat juga ciri-ciri lain seperti N-Log dan HLG RAW yang dipertingkatkan, penjejakan kelajuan AF yang boleh disesuaikan, audio stereo 4-bit dan sebagainya.
Kamera turut boleh digunakan bersama pelbagai mikrofon profesional XLR menggunakan Tascam Digital Adapter. Kemudian terdapat juga dua port USB-C disediakan untuk pengecasan dan aksesori. Sementara itu sambungan tanpa wayar pula boleh dilakukan menggunakan bluetooth dan Wi-Fi 5 GHz.
Terdapat juga aksesori tambahan khusus untuk bateri yang tersedia secara berasingan. Skrin sesentuh LCD sebesar 2.4″ yang boleh digerakkan pada empat paksi juga digunakan bagi tujuan fleksibiliti untuk rakaman pelbagai sudut. Harga jualan bermula $3,999.95 (~RM17,980) sementara itu aksesori bateri pula ditawarkan pada $349.95 (~RM1,573). Kamera ini juga disahkan bakal hadir ke pasaran Malaysia yang maklumat lanjut didedahkan pada 22 Mei akan datang.