Sebentar tadi kami laporkan antaramuka aplikasi Disney+ Hotstar versi web telah dikemaskini. Turut dikemaskini ialah aplikasi iOS yang mempunyai rekaan kemas yang sama. Akhirnya terdapat ciri mengunci profil daripada diakses. Ini adalah ciri yang lama kami mahukan bagi mengelakkan kanak-kanak mengakses kandungan Hotstar yang tidak sesuai dengan umur mereka.
Pin empat angka boleh diletakkan pada profil pengguna dan perlu dimasukkan sebelum boleh diakses. Dalam aplikasi yang sama Disney+ Hotstar berkata profil peribadi akan diperkenalkan pula dalam masa terdekat. Bila diaktifkan kelak, lebih daripada satu orang boleh menggunakan perkhidmatan ini tanpa kandungan bercampur aduk.
Antaramuka ini mempunyai tiga tab utama iaitu Home, Search dan My Space. Di home terdapat butang hanya untuk memaparkan siri TV, filem dan kandungan asli Disney+ Hotstar. My Space memaparkan menu pertukaran profil, menyambung tontonan terdahulu dan senarai kandungan yang disukai.
Carian juga semakin pintar dengan ia boleh memaparkan kandungan berdasarkan genre dan pelakon yang membintangi. Ini ciri yang tidak disokong dengan baik pada versi aplikasi terdahulu. Pada waktu ini hanya aplikasi iOS dikemaskini dengan versi Android dan Android TV masih menggunakan antaramuka lama.