Cari @ Amanz

Iklan adalah perlu bagi menjana pendapatan dan meneruskan aplikasi. Tetapi orang ramai tidak suka menonton iklan dan sanggup memasang penghalang. Tetapi adakah anda sanggup menonton iklan sepanjang hayat sekiranya diberikan TV pintar percuma? Telly ialah syarikat tunas rintis yang ditubuhkan oleh pengasas Pluto TV, Ilya Pozin yang menawarkan TV percuma jika anda sanggup menonton iklan.

TV Telly adalah unik kerana terdiri daripada skrin utama 55″ dengan panel 4K HDR. Terdapat skrin sekunder di bahagian bawah yang akan memaparkan iklan sepanjang masa. Ia juga boleh digunakan untuk memaparkan maklumat penting seperti saham atau skor perlawanan sukan terkini. Ia menggunakan TellyOS sebuah sistem operasi kendiri yang pada waktu ini tidak menyokong platform penstriman seperti Netflix. Tetapi Telly memberikan dongel AndroidTV secara percuma kepada semua pengguna.

Ciri lain yang menarik ialah sebuah soundbar terbina dengan kamera. Kamera ini boleh digunakan untuk kawalan gestur serta menjejak senaman yang dilakukan dengan aplikasi yang menyokongnya.Setiap TV juga hadir dengan 3x HDMI, port USB dan dekoder TV digital secara terbina.

Telly akan memberikan sebanyak 500,000 TV ini secara percuma dengan laman pendaftaran sudahpun dibuka. Penerima TV perlu bersetuju untuk data mereka dijejak dan digunakan bagi tujuan pengiklanan. Sekiranya gagal, TV perlu dipulangkan semula kepada Telly. Jika gagal mereka perlu membayar $500 untuk membelinya terus tetapi semua perkhidmatan Telly akan dihentikan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd