Setiap kali berbicara mengenai peranti Oppo yang memberi fokus terhadap sistem fotografi menarik semestinya siri Reno antara yang menjadi bualan. Ia juga sering disebut sebagai peranti pertengahan premium memandangkan penawaran diberi boleh disifatkan menarik.
Tular ketika ini gambar satu poster yang menunjukkan rekaan sebenar untuk siri Reno 10 berserta tarikh pelancaran rasmi. Pelancarannya dipercayai berlangsung pada 24 Mei akan datang yang juga terdiri dengan Reno 10, Reno 10 Pro dan Reno 10 Pro+.

Turut boleh dilihat modul kamera pada siri Reno 10 telah diubah kepada rekaan bujur dan bukannya lagi persegi seperti beberapa generasi sebelum ini. Sistem tri-kamera juga digunakan dengan salah satu daripadanya dipercayai mempunyai kemampuan zum yang tinggi. Perkara ini seakan membenarkan berita terdahulu seterusnya dianggap menarik kerana boleh melihat kebolehan zum lebih baik pada peranti Reno yang akan datang.
Rekaan tubuh peranti juga nipis yang semestinya panel hadapan melengkung juga boleh digunakan di sini. Sebanyak dua pilihan warna diperlihatkan yang terdiri dengan emas dan ungu. Namun kita boleh menyasarkan lebih banyak pilihan yang bakal disediakan selepas dilancarkan kelak.