Cari @ Amanz

Biasanya monitor yang tiba di makmal Amanz adalah untuk gaming atau untuk kegunaan harian. Jarang sekali monitor yang kami terima fokus kepada satu perkara sahaja seperti produktiviti pejabat atau untuk artis menyunting kami terima. Baru-baru ini ASUS ProArt PA279CRV telah tiba.

Monitor dalam siri ProArt ini adalah untuk artis profesional atau pakar warna yang khusus untuk kerja-kerja kreativiti sahaja. Harga jualan juga biasanya mahal dan ke arah premium kerana ingin memastikan warna yang natural, gamut warna yang lebar dan banyak lagi ciri-ciri mementingkan warna yang boleh dipaparkan. Tetapi ProArt PA279CRV adalah monitor profesional mampu milik dan kami telah memberikan penyunting video Amanz mengujinya sebagai monitor utama untuk menghasilkan video-video kami.

Adakah ia sesuai untuk anda atau anda rasakan monitor lain seperti PRISM+, RedMagic lebih baik?


REKAAN & SPESIFIKASI

ASUS ProArt PA279CRV
Skrin27″ IPS, 3840×2160 piksel, 16:9, 60Hz
HDR10
Sokongan WarnaGamut warna lebar 99% DCI-P3
99% Adobe RGB
Calman Verified
Nisbah Kontras1500 : 1
Kecerahan400 cd/m²
Masa Tindak BalasMencapai 5 ms
Sokongan Paparan AdaptifAdaptive Sync 48Hz-60Hz
CagakVESA 100×100 mm
I/O1x USB-C, 2x DP 1.4
2x HDMI 2.0, 1x USB-C 96W
3x USB-A 3.2
AudioBicu Audio 3.5mm
Kamera WebTiada
HargaRM 2388

Monitor ini hadir dengan skrin bersaiz 27-inci IPS LCD 4K UHD 3840 x 2160 piksel dengan sokongan paparan HDR10. Memandangkan ia memfokuskan kepada warna sokongan gamut warna lebar 99% DCI-P3 dan 100% Adobe RGB turut tersedia. Kecerahan walau bagaimanapun terhad kepada 400 cd/m² sahaja dan masa tindak balas pula adalah 5ms. Untuk sokongan paparan adaptif ia hanya menyokong pada kadar 48Hz ke 60Hz sahaja.

Menariknya ASUS ProArt PA279CRV turut menyokong pengiktirafan Calman yang memastikan penetukuran warna adalah mengikut piawaian antarabangsa. Pengiktirafan Calman juga bermakna monitor itu sesuai untuk kerja-kerja suntingan seperti Photoshop untuk gambar atau Premier Pro untuk video.

ASUS turut tidak lupa menyertakan sejumlah port sambungan yang menarik. Monitor ini dilengkapi dengan 1x USB-C yang menyokong sambungan kepada komputer riba serta pengecasan pantas USB-PD 96W. Kemudian turut mempunyai 2x HDMI 2.0, 2x DisplayPort 1.4, 3x USB-A 3.2 Gen 1 dan 1x bicu audio 3.5mm.

Port USB-A 3.2 Gen 1 di bahagian bawah monitor berfungsi sebagai hab yang membolehkan aksesori seperti papan kekunci, tetikus dan banyak lagi disambungkan kepada monitor boleh digunakan pada komputer ia disambungkan.

Sementara isu DisplayPort yang disertakan juga menyokong MST yang membolehkan lebih daripada satu ASUS ProArt PA279CRV (atau monitor lain yang menyokong MST) disambungkan antara satu sama lain secara daisy chain. Ini akan mengurangkan isu kabel berselirat perlu disambungkan kepada satu sumber input grafik.

Memandangkan monitor ini adalah untuk kegunaan kerja dan para profesional anda tidak akan dapat melihat lampu RGB di mana-mana. ASUS ProArt PA279CRV direka untuk nampak kemas, minimal, ringkas dan tidak serabut. Ia juga sesuai diletakkan di dalam pejabat atau studio. Walaupun monitor ProArt ini diletakkan dalam kategori harga mampu, kualiti binaannya agak kukuh tidak seperti PRISM+ yang rasa lembut dan mudah lentur.

Bezel pada skrin juga nipis kecuali pada dagu kerana kekangan teknologi untuk panel IPS. ASUS turut memastikan monitor ini boleh diubah sudut pandangannya seperti tahap ketinggian, ke sisi atau mendongak ke atas atau memandang ke bawah. Kaki pada monitor ini bukan sahaja ada tempat untuk menyusun atur kabel dan bayar tetapi turut kukuh agar tidak bergegar.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Apabila monitor ini tiba sahaja ke meja penyunting video kami perkara pertama yang dilakukan adalah mengubah tetapan warna. Kerana biasanya warna yang terus keluar dari kotak tidak begitu memuaskan dan perlu selari dengan apa yang dinampak pada skrin komputer dan pada monitor.

Bagusnya monitor ini adalah kawalan tetapan sistem memberikan analog untuk mudah memilih pelbagai jenis tetapan. Selain itu turut terdapat enam butang fizikal di bawah yang mudah diakses. Tetapi disebabkan tiada label pada butang dan pengguna perlu meneka setiap butang mengubah apa.

Dalam tetapan turut ada profil warna yang disediakan untuk pengguna tekan dan terus guna iaitu sRGB, Adobe RGB, DCI-P3 dan Rec 709. Menu pelet warna juga disertakan untuk pengguna mengubah tahap kecerahan, kontras, rona, gamma, tahap kehitaman dan pelbagai lagi. ini memberi kebebasan pengguna untuk menala warna agar lebih sesuai dengan citarasa dan kandungan yang ingin disunting.

Paparan On-Screen Display atau OSD juga lancar dan tidak ada isu lengah masa. Asus ProArt PA279CRV adalah satu lagi monitor yang memberi contoh menu OSD terbaik atau yang sepatutnya digunakan. Ehem-ehem, dengar tu PRISM+!!!

ProArt PA279CRV turut dilengkapi dengan speaker terbina yang menggunakan 2x pemandu audio 2W. Siapa sahaja yang gunakan speaker pada monitor? Penyunting Amanz hanya menggunakan set fon kepala atau set fon telinga sahaja untuk dapatkan audio yang lebih jelas. Speaker terbina padanya adalah lembut, tidak kuat dan tidak enak didengari.

KUALITI PAPARAN

Satu aspek yang menjadikan monitor ini nampak berbeza dengan monitor lain adalah nama “ProArt” itu sendiri. “Pro = Profesional” + “Art = Seni”, monitor untuk penggunaan seni oleh profesional. Dari kilang setiap monitor ini telah melalui proses penentukur dan pengguna turut akan menerima laporan memastikan warna monitor ini telah diiktiraf oleh Calman.

Di makmal Amanz kami tidak memiliki sebarang alatan untuk membuktikan ketepatan warna yang dipaparkan. Adalah dakwaan kelebaran gamut warna itu benar? Tetapi apa yang kami boleh lakukan adalah menjelaskan kepada anda mengenai apa yang kami lihat di mata sendiri. Apa yang ASUS iklankan mengenai warna monitor ini memang benar. ProArt PA279CRV memang jelas mempunyai warna dengan saturasi yang baik. Kontras sayang sekali tidak begitu menyerlah kerana kelihatan sedikit pudar.

Ia kelihatan pudar agar kandungan lebih mudah dijadikan sebagai bahan rujukan ketika melakukan suntingan video dan gambar. Cuma menjadikan monitor ini sebagai paparan kedua apabila digunakan bersama dengan MacBook Pro agak sukar kerana kedua-dua memaparkan warna yang berbeza. Ini juga bermakna monitor ini memang tidak sesuai untuk dijadikan sebagai tempat menonton filem dan bermain permainan video tetapi terhad untuk kerja profesional sahaja.

Ketajaman resolusi 4K monitor ProArt ini memang jelas. Ia tidak terlampau diproses dengan perisian dan kandungan nampak natural. Mata juga sedap memandang apabila sudah kerap melihat kandungan dengan warna yang menyerlah dan terang pada telefon pintar, melihat monitor ini seakan membenarkan mata untuk berehat.

Kecerahan 350 nits juga bermakna monitor ini terhad untuk digunakan di dalam pejabat yang tidak terdedah ke cahaya matahari. Kandungan HDR juga tidak akan nampak menarik kerana tahap kecerahan yang agak rendah. Pendedahan kepada cahaya matahari turut menjadikan paparan sukar untuk melakukan kerja kerana kesan silau yang menjadikan warna nampak semakin pudar. Alangkah baiknya jika ASUS menyertakan sekali penghadang cahaya pada bahagian sisi dan atas seperti BenQ SH240.

Walaupun monitor ini diiktiraf dengan VESA DisplayHDR 400 dan pengguna boleh menggunakannya untuk menyunting video HDR. Monitor ini tidak mampu memaparkan kandungan HDR dengan baik. Ini bermakna selepas suntingan dilakukan kami harus mainkan video pada MacBook untuk pengalaman menonton yang lebih memuaskan. Ini juga punca kenapa monitor ini tidak digalakkan untuk digunakan bersama Netflix atau PlayStation.

PENUTUP

Jangan salah faham apabila saya katakan warna yang monitor ini keluarkan cantik dan menarik anda akan fikir sesuai untuk digunakan sebagai monitor harian anda ketika ingin menikmati hiburan. Warna yang dikeluarkan itu adalah cantik dan menarik untuk profesional menjadikannya sebagai rujukan.

Sejak monitor ini digunakan beberapa video Amanz yang kami terbitkan di YouTube semuanya menggunakan monitor ini untuk tujuan suntingan. Jika anda sedari yang warnanya konsisten sentiasa konsisten dan mungkin pada sesetengah orang akan nampak lebih menyerlah. Monitor ini membantu menjadikan proses produksi kami lebih lancar dan mudah.

Cuma nanti jangan terkejut apabila nampak warna kurang konsisten kerana kami harus pulangkan kembali monitor ini (gurau). Kami sentiasa akan memastikan kualiti terbaik untuk para pembaca dan penonton. Selepas menggunakan monitor ini kami sudah faham lebih mengenai warna dan selepas ini tidak kira monitor apa digunakan kami akan tahu tetapan warna yang terbaik untuk cuba padankan dengan ASUS ProArt PA279CRV.


PRO

  • Warna yang bagus untuk kerja-kerja suntingan.
  • Kualiti binaan yang memuaskan dan rasa kukuh.
  • Mata rasa selesa dan tidak penat ketika bekerja.
  • Membantu meningkatkan lagi kualiti produksi video.
  • Harga yang mesra pengguna.

KONTRA

  • Tidak cukup terang dan kadangkala menjadikan warna nampak pudar.
  • Tidak sesuai untuk tetapan paparan kedua.
  • Warna yang tidak sesuai untuk hiburan.
  • Butang yang tiada label.

Ulasan oleh Li Jin Soh dengan terjemahan dan teks tambahan Fahim Zahar

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd