Cari @ Amanz

Adobe Summit merupakan acara yang sentiasa dinantikan oleh golongan profesional kreatif, dimana kebiasaannya pelbagai penawaran terbaru bakal diumumkan kepada umum. Fokus utama pada acara kali ini adalah pengenalan produk-produk terbaru daripada Adobe, yang merangkumi perkhidmatan AI, pengurusan kandungan yang boleh diperibadikan, perisian untuk menganalisa, serta rantaian bekalan kandungan (Content Suppy Chain).

Lebih menarik lagi, kesemua penawaran terbaharu daripada Adobe in bakal mengintegrasikan Experience Cloud dan Creative Cloud, bagi menjadikan proses penciptaan, penyampaian serta menganalisis keberkesanan kandungan dengan lebih optimum.  

Menerusi acara ini, Adobe telah memperkenalkan Adobe Sensei GenAI, bersama-sama Adobe Firefly yang merupakan sistem kecerdasan buatan (AI) terbaru dari mereka, memfokuskan kepada penjanaan imej dari teks. Bukan itu sahaja, produk-produk lain yang turut diperkenalkan pada acara ini adalah Adobe Product Analytics di bawah Adobe Experience Cloud.

Fungsi utamanya adalah sebagai perisian untuk menganalisa, yang menyerupai Google Analytics. Adobe Experience Manager (AEM) pula dilancarkan sebagai sistem pengurusan kandungan, yang dibantu oleh Adobe Sensei AI untuk menganalisa prestasi kandungan yang dihasilkan. 

Adobe juga turut memperkenalkan solusi rantaian bekalan kandungan mereka yang tersendiri, yang membantu pengguna menghasilkan kandungan yang lebih berkesan dalam masa yang singkat. Melalui integrasi Creative Cloud dan Experience Cloud, ia bakal memberikan pengguna lebih kemudahan dalam merancang, mencipta, menyemak dan mengedar kandungan kreatif dengan lebih efektif. Justeru, ia akan mempercepatkan lagi keupayaan organisasi dalam menghasilkan kandungan, bagi memenuhi keperluan pemasaran mereka.

Selain itu, Adobe Express for Enterprise turut diperkenalkan, khusus buat kegunaan perniagaan. Penawaran ini seiring dengan penekanan Adobe dalam kepentingan penghasilan kandungan yang boleh diperibadikan, seiring dengan perkembangan dunia digital. Kewujudan produk ini sekaligus bakal menjadikan penciptaan kandungan lebih mudah diakses, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai kemahiran  mendalam mengenai reka bentuk profesional. 

Adobe Express for Enterprise ini akan diintegrasikan bersama produk-produk Adobe yang lain seperti Adobe Firefly dan Adobe Experience Manager Asset, bagi memberikan kelancaran dalam menghasilkan kandungan yang diinginkan. Selain itu juga, Adobe Express for Enterprise ini turut didatangkan dengan akses kepada imej stok, video, muka taip (font) , dan juga templat. Dalam kata mudahnya, penawaran produk terbaru daripada Adobe kali ini dilihat mampu membantu pengguna dan perniagaan dalam menghasilkan kandungan dengan lebih efisien untuk pemasaran digital akan datang.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd