NVIDIA nampaknya sedang bersiap-sedia untuk menggantikan siri kad GeForce RTX 3000 mereka dengan siri GeForce RTX 4000 sepenuhnya dengan ura-ura yang mengatakan bahawa mereka telahpun menghentikan pengeluaran cip pemprosesan model GeForce RTX 3060 Ti mereka.
NVIDIA dijangka akan memperlihatkan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 Ti tidak lama lagi, dan akan menggantikan keseluruhan penawaran siri kad grafik GeForce RTX 3000 dengannya. Ini selari dengan laporan-laporan lain yang juga mengatakan bahawa pengeluaran kad grafik baru tersebut semakin meningkat untuk memastikan bahawa bekalannya mencukupi untuk mereka yang mahu menaiktaraf komputer mereka, ataupun mahu membina komputer mampu milik yang baru.
Ia dijangkakan bahawa kad grafik NVIDIA kelas mampu-milik terbaru ini akan membolehkan orang ramai untuk menikmati gaming pada skala Full HD dengan kadar segar semula dan juga tetapan grafik yang tinggi tanpa perlu menggunakan kuasa yang begitu banyak.
Buat masa ini, spesifikasi dalaman yang diketahui mengenai kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 Ti termasuklah kemungkinan bahawa ia akan ditawarkan dengan pilihan memori VRAM 8GB dan 16GB GDDR6 dengan kelebaran memori 128GB dan kelajuan penghantaran data 18Gbps bergantung kepada model.
Dari segi spesifikasi teras pula, kad grafik baru ini dilaporkan juga akan hadir dengan 32 pemprosesan strim (streaming multiprocessor) yang terdiri daripada 4352 teras CUDA, 128 teras Tensor dan 32 teras ray tracing. Berbanding dengan kad grafik RTX 3060 Ti sebelum ini, ia mempunyai 4 pemproses strim curang, tetapi dengan teknologi pemprosesan grafik Ada Lovelace sekarang, ia dijangka tampil dengan prestasi grafik yang lebih hebat walaupun dengan penggunaan kuasa yang lebih rendah.