Carian
Infinix Note 30i Dilengkapi Dengan Cip MediaTek Helio G85 Dan Kamera 64MP
May 17, 2023 Amy Maizuraa

Sama ada perasan atau tidak, Infinix kini dalam persediaan hadir dengan produk baharu di bawah siri Note. Kehadirannya untuk pasaran Malaysia juga telah sedia diacah menerusi beberapa perkongsian di media sosial rasmi. Cumanya tarikh pelancaran khusus masih menjadi misteri setakat artikel ditulis.

Bagaimanapun salah satu variasi di bawah siri berkenaan iaitu Infinix Note 30i telah ditemui tersenarai lebih awal beserta spesifikasi penuhnya. Ia ditemui oleh pihak GSMArena yang mana semakan terkini kami mendapati pihak Infinix telah menurunkan semula laman berkenaan.

Ia merupakan sebuah lagi pilihan peranti 4G yang menggunakan cip MediaTek Helio G85, kemudiannya digabungkan pula dengan memori 8GB RAM dan storan 256GB. Skrin 6.6-inci AMOLED FHD+ digunakan yang sekadar menyokong kadar segar semula standard. Ia juga memuatkan kamera hadapan 16MP pada panel hadapan ini yang menggunakan rekaan sejenis bertakuk kecil.

Sistem tri-kamera juga digunakan dengan sensor utama 64MP namun selebihnya tidak pula diketahui mengenai konfigurasinya. Lain-lain spesifikasi yang disokong termasuklah bateri 5000mAh, pengecasan pantas 33W, pembesar suara stereo ditala audio JBL, kalis percikan IP53 dan pengimbas cap jari sisi.

Peranti tersedia dalam tiga warna iaitu Gold, Obsidian Black dan Impression Green tanpa harga jualan dinyatakan.

Komen