Carian
Adobe Perkenal Ciri “Do Not Train” Untuk Mengelakkan Karya Digunakan Untuk Melatih Adobe Firefly
May 17, 2023 Penulis Tamu
  • Teks Asal – Noor Fatihah Az-Zuannie

Adobe Firefly merupakan penawaran kecerdasan buatan (AI) dari Adobe yang memfokuskan kepada penjanaan imej dari teks, khusus buat kegunaan penghasilan kandungan kreatif. Di sebalik penawaran ini, Adobe turut komited dalam memastikan kandungan yang dijana mereka mematuhi etika dan bersifat telus.

Oleh yang demikian, Adobe telah memperkenalkan tag “Do No Train”. Tag ini boleh digunakan oleh pengguna Adobe Cloud yang tidak mahu karya asli mereka yang disimpan pada storan awanan Adobe digunakan untuk melatih Adobe Firefly.

Menurut Adobe, tag ini akan kekal pada kandungan tidak kira apabila ia digunakan, diterbitkan mahupun disimpan. Selain itu, integrasi Adobe Firefly bersama kandungan sedia ada di dalam Adobe Stock turut memastikan apa yang dijana tidak menggunakan kandungan pengguna lain.

Bukan itu sahaja, Adobe juga akan memperkenalkan datameta pada imej yang dijana, menyatakan bahawa hasil kandungan tersebut merupakan janaan AI. Adobe turut mewujudkan model pampasan kepada pengguna yang menyumbang kandungan mereka menerusi Adobe Stock, untuk kegunaan pembelajaran AI. 

Dengan adanya fungsi “Do Not Train” ini, ia secara langsung menunjukkan bahawa Adobe bergerak seiring dengan inisiatif Coalition for Content Provenance and Authenticity (C2PA) mereka, dalam menangani masalah perkongsian maklumat tanpa pengesahan. Inisiatif C2PA dari Adobe sebelum ini telah menerbitkan piawaian pertama mereka yang membolehkan pengkarya digital meletakkan maklumat meta pada karya dan kandungan mereka, serta mengesan sekiranya ada perubahan dilakukan ke atasnya. C2PA turut mempunyai Sony, Leica, Nikon, Microsoft, BBC, ARM, Intel, TruePic dan Twitter sebagai ahli.

Adobe Firefly turut bercadang untuk memanfaatkan pelbagai aset, teknologi dan data latihan daripada Adobe dan lain-lain, bagi menjana kandungan lebih baik pada masa akan datang. Secara ringkasnya, apa yang dilakukan oleh Adobe ini adalah bagi memastikan bahawa kandungan yang dijana oleh Adobe Firefly adalah selamat dan mematuhi etika bagi kegunaan komersial, serta menjaga kebajikan komuniti penggunanya. 

Komen