Cari @ Amanz

Bukankah mudah jika telefon pintar yang kita sedia miliki boleh menjadi pengganti kamera? Bukan sahaja pengganti kamera digital, tetapi sekarang telefon pintar turut boleh menjadi kamera web untuk komputer. Tetapi bagaimana kalau saya katakan nanti anda tidak lagi perlu membeli kamera papan pemuka untuk kereta anda?

Kamera papan pemuka atau dashcam pada hemat saya adalah aksesori wajib milik jika anda memandu. Ia membantu merakam situasi jalan raya dan jika ada kecemasan ia boleh dijadikan sebagai bahan rujukan. Akan datang anda boleh menggunakan ciri Personal Safety pada peranti Android untuk mengubah peranti menjadi kamera papan pemuka.

Dalam aplikasi Personal Safety yang akan ada dalam peranti Android asli seperti Pixel atau Nothing Phone (1), Google memberikan kemaskini 2023.04.27.532191641.8-dogfood secara tidak sengaja. “dogfood” biasanya adalah versi fasa ujian. Di dalam kemaskini ini aplikasi ini menambah ciri Dashcam.

Apabila ciri ini diaktifkan rakaman akan berjalan di latar dan pengguna masih boleh menggunakan peranti seperti biasa untuk peta, muzik dan sebagainya. Setiap rakaman hanya akan disimpan selama tiga hari dan jika tidak disimpan fail akan dipadam secara automatik. Ciri ini menyokong rakaman sehingga 24 jam iaitu 30MB setiap minit.

Ciri ini dilihat akan ditawarkan kepada semua pengguna Android asalkan ada aplikasi Personal Safety dan GMS pada peranti. Bila ia akan dilancarkan masih tidak disahkan lagi. Akhirnya ada pilihan menggunakan kamera berkualiti untuk kamera papan pemuka.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd