Beats Studio Buds+ dilancarkan secara rasmi awal pagi tadi sebagai sepasang TWS yang mempunyai sokongan audio spatial, mod tembus serta ANC yang dipertingkat dan model dengan rekaan lutsinar. Jelas pada TWS terkini mereka Beats mengambil inspirasi daripada Nothing Ear (1) yang adalah antara fon telinga paling menarik rekaannya di pasaran.

Kali ini Beats Studio Buds+ dilengkapi dua fon telinga jenis putik yang mempunyai hujung silikon. Tiada maklumat mengenai saiz pemandu audio tetapi Beats mengatakan rekaan lohong udara dikemaskini daripada Studio Buds asal. Ia masih menyokong peranti Apple dan Android dengan terdapat cip Apple H1 untuk tambatan bluetooth 5.3 yang lebih baik. Sekiranya hilang, Studio Buds+ boleh dijejak menggunakan Apple Find My.
Prestasi pembatalan hingar (ANC) meningkat sehingga 1.6 kali ganda dan mod tembus pula sehingga 2 kali ganda. Mikrofon pula tiga kali lebih besar untuk menyokong ANC lebih baik dan panggilan telefon lebih jelas. Sokongan audio spatial turut disertakan. Hanya codec SBC dan AAC sahaja disokong pada TWS ini. Bagi yang gemar bersukan, putik audio melepasi piawaian IPX4.

Bateri boleh bertahan selama 9 jam dan meningkat ke 36 dengan bantuan pod pengecas. Pengecasan semula adalah menerusi port pengecasan USB-C. Di Malaysia Beats Studio Buds+ dijual pada harga RM699 sebuah. Studio Buds asal juga masih dijual pada harga RM649 sebuah.