Selama dua hari berturut-turut ratusan ribu peminat kugiran Coldplay cuba membeli tiket konsert yang akan berlangsung pada November hadapan. Ratusan ribu juga hanya mampu berputih mata selepas kesemua tiket habis dibeli. Tetapi sejurus selepas tiket diumumkan habis oleh pihak penganjur, muncul iklan ia dijual secara terbuka menerusi laman edagang dan media sosial sehingga menimbulkan kemarahan mereka yang tidak mampu membelinya.
Dengan kemarahan mula dikongsi di media sosial, Menteri Kementerian Komunikasi Digital Fahmi Fadzil telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk melakukan siasatan ke atas aktiviti penjualan semula tiket Coldplay oleh golongan ulat tiket ataupun “scalper”. Sehingga semalam ratusan tiket dapat dilihat dijual semula pada harga yang jauh lebih mahal.
Dalam satu ciapan tular, tiket berharga RM1288 kategori 1 dijula semula pada harga RM43,000. Fahmi Fadzil turut berkata beliau akan membincangkan isu ulat tiket konsert ini dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub. Beliau mengingatkan orang supaya hanya membeli tiket menerusi saluran rasmi dan sekiranya menjadi mangsa penipuan segera melakukan laporan kepada pihak polis.