Titanic ialah kapal yang mempunyai status legenda. Semasa dilancarkan ia dikatakan tidak boleh karam kerana mempunyai dua lapisan tubuh dan menggunakan teknologi terkini. Tetapi ia karam pada 14 April 1914 sehingga mengorbankan 1500 nyawa. Minat terhadap Titanic muncul semula selepas ia ditemukan oleh Dr Robert Ballard pada tahun 1985 dan filem James Cameron pada tahun 1997.
Kini buat pertama kalinya model 3D yang paling terperinci telah dihasilkan menggunakan 715,000 gambar yang diambil ketika ekspedisi yang dilakukan pada musim panas 2022. Model paling jitu ini adalah usaha Magellan Limited dengan kerjasama Atlantic Productions yang menerbitkan dokumentari baharu mengenai Titanic.

Proses menangkap ratusan ribuan gambar ini dilakukan dalam tempoh enam minggu dengan Magellan turun ke kedalaman 3800 meter untuk mengambil gambar. Data sebesar 17 Terabyte dalam bentuk gambar dan video 4k diambil sepanjang ekspedisi ini. Hasilnya ialah buat pertama kalinya rupa sebenar Titanic dapat dilihat dengan jelas bagi membolehkan kajian yang lebih terperinci dilihat oleh penyelidik.

- Sumber
- Magellan Limited