Apple sedia mengambil sejumlah langkah dalam mengurangkan kebergantungan kepada syarikat-syarikat lain – termasuk dari penghasilan cip, rekaan, dan sebagainya. Terbaru, mengikut laporan awal, Apple turut dikatakan ingin menghasilkan panel paparan untuk iPhone mereka secara sendiri.
Ia dikatakan Apple menyasarkan untuk menghasilkan panel mikroLED secara sendiri, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pihak Samsung. Ini akan membolehkan Apple mengawal keseluruhan rantaian-bekalan, termasuk pelbagai perkara yang ingin diimplementasikan mereka.
Mengikut laporan, Apple telah membelanjakan sekitar $1 bilion untuk kajian dan penyelidikkan berkenaan mikroLED untuk sedekad lepas. Seperti biasa, Apple dijangka akan bekerjasama dan menggunakan khidmat pengeluaran daripada beberapa pihak untuk mengeluarkan panel secara pukal ini.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah kita akan dapat melihat hasil panel yang dikeluarkan sendiri oleh Apple ini pada produk-produk mereka. Ia mungkin mengambil masa beberapa tahun lagi sebelum ia matang dan sedia untuk penggunaan sepenuhnya.