Cari @ Amanz

MEASAT, syarikat pembekal perkhidmatan satelit kebangsaan dan juga Parcel365, sebuah perkhidmatan penghantaran dan penerimaan bungkusan baru-baru ini telah menandatangani kerjasama untuk memperkenalkan sebuah inisiatif baru yang dinamakan KampungDigital365 yang memanfaatkan kemampuan membekalkan internet dan kemampuan logistik mereka untuk memperkasakan ekonomi orang asli.

Melalui inisiatif ini, pihak Measat dan Parcel365 telah melancarkan laman web Shopla365 melalui KampungDigital365.com yang membolehkan orang ramai untuk membeli hasil tangan dari perkampungan orang asli seperti Kampung Orang Asli Pos Sinderut.

Barangan yang dijual termasuklah keropok udang, petai, daun pisang, ubi kayu, durian kampung dan juga ayam kampung hidup yang diikat. Kampung Orang Asli Pos Sinderut merupakan perkampungan orang asli pertama yang bersetuju dengan kerjasama ini, dan ia dilihat membantu dalam membolehkan mereka mendapatkan keuntungan yang lebih tinggi apabila menjual barangan mereka, berbanding apabila mereka menjualnya melalui orang tengah.

Kerjasama diantara MEASAT dan Parcel365 ini boleh diumpamakan seperti isi dengan kuku, dimana MEASAT, syarikat disebalik pembekal sambungan internet satelit CONNECTme NOW dan Parcel365 secara lazimnya menggunakan perkhidmatan mereka untuk memperkasakan kehidupan dan ekonomi perkampungan orang asli.

Melalui program KampungDigital365 ini juga, kampung-kampung ini dibekalkan dengan kelengkapan tambahan seperti bekalan kuasa elektrik, pengecas solar, peti sejuk dan sebagainya untuk membolehkan mereka menyimpan barangan jualan yang mudah rosak.

MEASAT dan Parcel365 dijangka akan melanjutkan pengenalan program ini ke lebih banyak lagi Kampung Orang Asli di kawasan pedalaman sepanjang tahun ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd