Cari @ Amanz

Siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX XX60 boleh dikatakan ialah siri kad grafik yang popular kerana secara lazimnya ia akan hadir dengan gabungan prestasi baik dan tanda harga mampu milik yang menjadikannya pilihan ramai penggemar PC gaming yang tidak mahu membelanjakan terlalu banyak wang untuk komputer mereka.

Baru-baru ini, NVIDIA telah melancarkan siri kad grafik terbaru mereka, iaitu siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 yang juga termasuk kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 Ti. Bermula dengan NVIDIA GeForce RTX 4060, ia menggunakan cip grafik AD107 yang hadir dengan 18.9 bilion transistor dan dibina menggunakan proses 4nm oleh TSMC.

Kad grafik ini juga hadir dengan memori GDDR6 sebanyak 8GB, 24 pemproses strim (streaming multiprocessors), 96 teras tensor dan 24 teras RT untuk tujuan ray-tracing. Ia juga mempunyai prestasi 15TFLOPS untuk pengiraan FP32, dan menurut NVIDIA lagi, cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan moden pada resolusi Full HD dan kadar segar semula tinggi dengan penggunaan kuasa 115W sahaja.

Untuk kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 Ti pula, kad grafik ini hadir dengan dua pilihan model. Dari segi sejumlah komponen yang digunakan, kad grafik ini dimuatkan dengan 34 pemproses strim, 136 teras tensor dan 34 teras RT untuk tujuan ray-tracing. Ia juga mempunyai kelajuan Boost Clock 2535MHz yang membolehkannya juga menampilkan prestasi pada resolusi Full HD yang lebih hebat.

Sama seperti kad-kad grafik yang ditawarkan didalam siri Geforce RTX 4000 yang lain, siri kad grafik ini juga tampil dengan sokongan teknologi baru seperti DLSS 3 pada lebih 50 permainan komputer

NVIDIA GeForce RTX 4060 Ti akan hadir dengan dua pilihan model, termasuklah dengan 8GB memori GDDR6 dan juga pilihan dengan 16GB. Buat masa ini, kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 Ti dengan memori 8GB akan ditawarkan terlebih dahulu bermula 24 Mei ini pada harga bermula $399.

Untuk NVIDIA GeForce RTX 4060 Ti dengan 16GB memori pula, ia akan mula dijual pada bulan Julai ini pada harga $499. NVIDIA GeForce RTX 4060 pula akan dijual pada masa yang sama pada harga $299. Menariknya untuk pasaran tempatan, kad grafik GeForce RTX 4060 memperlihatkan tanda harga tempatan bermula pada RM1539.

Kad-kad grafik ini akan ditawarkan dalam rekaan Founders Edition dan juga melalui pembuat kad grafik yang lain.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd