Razer kini hadir dengan tiga set pembesar suara baharu yang terdiri dengan Nommo V2, Nommo V2 Pro dan Nommo V2 X. Ketiga-tiga pembesar suara ini menampilkan sokongan audio Audio Spatial THX, selain turut serasi digunakan bersama PC, Peranti Mudah Alih, PS5, PS4, Nintendo Switch. Namun masih terdapat juga sebahagian ciri utama yang membezakannya di antara satu sama lain.

Razer Nommo V2 Pro menjadi variasi paling premium di dalam set pembesar suara ini. Ia memuatkan dua set pemandu audio 3″ bersama satu subwoofer yang dihubungkan secara nirwayar untuk kemampuan audio yang baik. Ia juga masih mengekalkan DNA produk Razer apabila turut dilengkapi sistem lampu RGB Razer Chroma di belakang, selain turut dilengkapi dengan pod kawalan nirwayar.
Seterusnya Razer Nommo V2 juga menggunakan dua set pemandu audio 3″ bersama satu subwoofer dan sistem lampu RGB Razer Chroma di belakang. Namun perbezaan utama di sini subwoofer pada Nommo V2 menggunakan sambungan berwayar dan bukannya nirwayar seperti variasi pro. Ini bermakna ia tidak menyokong pod kawalan nirwayar, namun terdapat aksesori tambahan diberi sebagai pilihan.

Akhir sekali Razer Nommo V2 X pula diposisikan sebagai variasi paling asas. Ia juga menggunakan dua set pemandu audio 3″ namun tiada sokongan subwoofer disertakan. Begitu juga dengan sokongan bluetooth 5.0 dan bukannya bluetooth 5.3 seperti yang terdapat pada Nommo V2 dan Nommo V2 Pro. Ia juga menyokong sistem lampu RGB Razer Chroma, di samping aksesori tambahan sebagai pilihan.