Cari @ Amanz

Apple hari ini telah mengedarkan kemaskini stabil untuk Apple TV iaitu tvOS 16.5. Dengan kemaskini ini Apple akhirnya membawakan sokongan Multiview kepada umum selepas sebulan mengujinya ketika fasa beta.

Multiview adalah ciri yang membenarkan pengguna menonton 4 video berbeza serentak di Apple TV 4K. Dengan ciri baharu ini pengguna boleh tonton 4 video dalam paparan grid. Pengguna turut boleh menyusun grid sendiri seperti 1 kotak besar + 3 kotak kecil sebaris, grid 2×2 dan menariknya jika pengguna sedang fokus tonton di satu kotak, pilih sahaja kotak lain untuk mendengar audio video lain. Tekan salah satu kotak untuk paparan skrin penuh sementara.

Multiview walau bagaimanapun tidak boleh digunakan pada semua kandungan. Ia terhad untuk penstriman kandungan sukan sahaja. Contohnya adalah perlawanan Major League Soccer, permainan “Friday Night Baseball”, dan penstriman siaran langsung MLS dan MLB.

Selain itu MLS 360 dan MLB Big Inning turut boleh ditonton dalam mod Multiview untuk dapatkan liputan penuh mengenai pasukan sukan kegemaran pengguna. Tidak pasti jika ciri ini boleh dikembangkan ke kandungan Apple TV+, YouTube dan lain-lain, tetapi satu konsep menarik untuk memudahkan penggemar sukan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd