Meta sedia dikatakan sebelum ini sedang membangunkan aplikasi alternatif untuk Twitter, dibawah produk Instagram. Kini, mengikut maklumat awal yang hadir ke arena internet, Meta dijangka memperkenalkan aplikasi memfokuskan teks ini seawal penghujung Jun 2023 kelak.
Aplikasi dibawah Instagram ini dijangka ditawarkan dalam bentuk aplikasi berasingan, dan membolehkan pengguna melakukan perkongsian teks sehingga 500 aksara. Selain teks sahaja, seperti Twitter, pengguna turut boleh menyertakan gambar dan video pada perkongsian tersebut.
Meta dijangka turut mengintegrasikan ciri-ciri terpencar pada aplikasi berkenaan – lebih kurang seperti elemen yang diintegrasikan oleh Mastodon. Ia tidak diketahui lagi bagaimana reaksi ramai pengguna apabila ia diperkenalkan kelak. Memandangkan ia diintegrasikan data bersama Instagram – seperti akaun dan profil, maka ia mungkin menarik ramai pengguna dalam menggunakan aplikasi tersebut, dan terus mengikuti pelbagai perkembangan daripada rakan-rakan yang akaun yang mereka gemarkan.
Mengikut paparan skrin yang hadir juga, ia dilihat sedikit menyerupai Twitter, tetapi dengan pelbagai elemen Instagram. Tiadak butang berbentuk “Retweet” yang diperlihatkan buat masa ini.
Dengan ketirisan terbaru ini, sama-sama kita nantikan apakah kejutan yang disediakan oleh Meta dalam tempoh sekitar sebulan lagi ini.