Anda semestinya sedia maklum Samsung juga mempunyai barisan peranti tahan lasak yang sesuai digunakan dalam pelbagai keadaan dan situasi. Misalnya seperti tablet Galaxy Tab Active 4 Pro yang kini mula ditawarkan di Malaysia dengan harga RM3,299. Bagi yang berminat, ketersediaan adalah bermula sekarang dan boleh didapati menerusi pengedar sah Samsung di seluruh Malaysia.

Samsung Galaxy Tab Active 4 Pro merupakan tablet Android dengan skrin bersaiz 10.1-inci yang juga menyokong resolusi WUXGA. Ini dipadankan pula dengan cip Snapdragon 778G yang juga menggabungkan pilihan memori 4GB RAM dan storan dalaman 64GB terbina.

Ia juga memuatkan kapasiti bateri 7,600mAh, namun tiada kepala pengecas yang diberikan dalam kotak pembelian. Tetapan kamera pula sebesar 13MP untuk utama dan swafoto 8MP, di samping juga menyokong rangkaian 5G terbina. Peranti turut melepasi piawaian kalis debu dan air IP68 yang dilihat sesuai dengan tujuan utamanya sebagai sebuah tablet tahan lasak.