Dyson hari ini telah mengumumkan sejumlah kelengkapan baru yang membantu dalam memudahkan tugas pembersihan rumah, dan sebuah kipas penyejuk dan pembersih udara yang baru.

Pertama ialah vakum robot Dyson 360 Vis Nav, yang merupakan robot vakum generasi ketiga mereka selepas Dyson 360 Eye dan Dyson 360 Heurist. Ia bukan sahaja hadir dengan rekaan yang lebih padat berbanding dengan robot-robot mereka sebelum ini, tetapi juga kuasa sedutan yang jauh lebih berkuasa berbanding dengan model-model sebelum ini.

Satu lagi kelebihan robot vakum ini ialah ia mempunyai kebolehan untuk membersihkan sudut-sudut yang secara lazimnya sukar dilakukan oleh produk-produk yang sama, kerana kuasa sedutan dibahagian sisi yang lemah. Ini bukan satu masalah untuk Dyson 360 Vis Nav, dimana ia mempunyai berus di bahagian sisi kepala pembersih ini yang membantu dalam mengalirkan kotoran ke bahagian sedutan sisi robot vakum ini.
Ia juga mempunyai jangkahayat bateri 50 minit, selepas mana ia akan kembali ke dermaganya sendiri untuk dicas. Ia juga boleh disambungkan ke aplikasi MyDyson yang boleh digunakan untuk menetapkan sejumlah arahan yang boleh diberikan secara automatik.

Satu produk yang kami pastinya ditunggu ramai oleh pengguna produk Dyson ialah mop dengan fungsi menyedut kotoran basah. Dyson dilihat memperkenalkan Dyson V12s Detect Submarine, iaitu sebuah variasi kepada Dyson V12 Detect Slim yang kini hadir dengan aksesori Dyson Submarine, sebuah kepala mop yang menggunakan motor neodymium Dyson generasi kelima untuk menguasakannya.
Kepala mop ini hadir dengan dua tangki bersaiz 300ml untuk cecair pembersih dan juga air kotoran yang akan diserap dari kepala mop aksesori ini. Ia mampu membersihkan tumpahan cecair seperti sos tomato, air, susu dan sebagainya, dan membersihkan lantai dengan permukaan keras seperti kayu dan jubin.

Akan tetapi kami juga diberitahu bahawa walaupun Dyson Submarine ini merupakan aksesori kepala sahaja, ia hanya boleh dibeli bersama-sama dengan Dyson V12 Detect yang baru sahaja yang dinamakan Dyson V12 Detect Submarine kerana beberapa perubahan yang dilakukan pada model tersebut.
Dyson juga dilihat memperkenalkan Dyson V15 Detect Submarine, tetapi model ini tidak ditawarkan di rantau Asia.
Jika anda mencari sebuah kipas dan pembersih udara untuk kawasan tertutup yang besar, Dyson juga memperkenalkan kipas dan pembersih udara Dyson Purifier Big+Quiet Formaldehyde, sebuah kipas Dyson Purifier yang bersaiz besar untuk kawasan-kawasan tertutup bersaiz komersil.

Kipas ini bukan sahaja boleh meniup udara pada jarak 10 meter, tetapi juga menyedut udara sedia ada masuk, membersihkannya dari kuman bakteria dan virus, dan meniup keluar udara yang bersih. Ia juga merupakan sebuah kipas yang cukup senyap dengan bunyi yang dihasilkan hanyalah setinggi 56 desibel sahaja.
Buat masa ini, tarikh pelancaran dan tanda harga untuk produk-produk ini tidak diketahui lagi.