Carian
Cooler Master Akan Mula Menjual Komputer Sneaker X Dan Cooling X Pada Suku Ketiga Tahun Ini
May 23, 2023 Nazrin

Pada awal tahun ini, Cooler Master telah memperlihatkan rangka komputer desktop baru melalui Cooler Master Sneaker X dan juga Cooling X di acara Consumer Electronics Show di Las Vegas. Sneaker X hadir dengan bentuk kasut sneaker, manakala Cooling X memperlihatkan perkakasan penyejukan cecair yang menyejukkan kedua-dua komponen CPU dan juga kad grafik.

Cooler Master tidak akan menjual rangka komputer sahaja, tetapi juga akan memuatkan komponen-komponen komputer desktop didalam kedua-dua rangka komputer ini. Untuk komputer Sneaker X, walaupun ia mempunyai saiz yang agak besar dengan dimensi 650mm x 306mm x 651mm, ia akan menggunakan banyak komponen bersaiz kecil, seperti papan induk bersaiz Mini-ITX, bekalan kuasa bersaiz SFX, tetapi boleh memuatkan kad grafik sepanjang 10 inci.

Untuk Cooling X pula, ia masih akan menggunakan komponen-komponen bersaiz ATX yang biasa diperlihatkan pada komputer desktop yang komputer biasa, tetapi dengan penyejukan cecair yang lebih berkuasa.

Dari segi penawaran komponen, Cooler Master tidak memberitahu pilihan komponen yang akan digunakan, tetapi apa yang pasti ialah ia akan hadir dengan pilihan untuk CPU AMD dan juga Intel generasi terbaru apabila ia dilancarkan kelak.

Cooler Master juga mengatakan bahawa Sneaker X akan dijual dengan harga permulaan $5999, manakala Cooling X akan dijual pada harga permulaan $6999. Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi samada ia akan ditawarkan di pasaran tempatan.

Komen