Cari @ Amanz

Diablo IV ialah permainan RPG terbaru keluaran Blizzard Entertainment yang akan dilancarkan pada 6 Jun 2023. Sehubungan dengan itu, SteelSeries dilihat juga memperkenalkan siri aksesori gaming yang hadir dengan tema permainan tersebut baru-baru ini.

Bermula dengan fon kepala SteelSeries Arctis Nova 7 Wireless Diablo IV Edition, fon kepala ini dibangunkan berasaskan fon kepala Arctis Nova 7 Wireless yang hadir dengan pemandu audio yang menyokong teknologi Spatial Audio yang memberi pengguna pengalaman audio 360 darjah dan mempunyai equalizer terbina yang boleh diubahsuai dalam permainan.

Fon kepala ini juga hadir dengan jangka hayat bateri selama 38 jam dengan satu pengecasan penuh, dan boleh disambungkan ke komputer menggunakan sambungan Bluetooth ataupun WiFi. Untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan didalam dunia Sanctuary, fon kepala ini juga hadir dengan mikrofon dengan pembatalan bunyi hingar terbina.

Dari segi rekaan, fon kepala ini juga hadir dengan rekaan berwarna hitam dan merah yang memiripi corak tema permainan Diablo.

SteelSeries AEROX 5 Diablo IV Edition pula ialah tetikus dengan sembilan butang yang boleh diubahsuai penggunaannya, dan boleh dimainkan dengan pelbagai jenis permainan, temasuklah MMORPG, MOBA, FPS, Battle Royale dan sebagainya.

Walaupun ia dilihat seperti mempunyai rekaan berlubang, tetikus ini juga disahkan kalis cecair dan habuk IP54 yang pastinya membantu sekiranya anda juga jenis yang gemar makan dan minum di meja komputer sewaktu gaming. Bukan itu sahaja, anda juga akan mendapat satu pencapaian untuk kuda yang boleh digunakan dalam permainan.

Melengkapkan aksesori SteelSeries bertemakan Diablo IV ini ialah pad tetikus SteelSeries QCK Heavy XXL Diablo IV Edition yang hadir dengan rekaan yang memaparkan peperangan diantara High Heavens dan Burning Hells.

Ia hadir didalam saiz 900 mm x 400 mm x 4 mm yang cukup besar untuk melapikkan papan kekunci dan juga tetikus SteelSeries kegemaran anda tanpa masalah.

Aksesori-aksesori ini sudahpun mula ditawarkan di pasaran-pasaran tertentu pada harga berikut:

  • SteelSeries Arctis Nova 7 Wireless Diablo IV Edition – €219.99
  • SteelSeries AEROX 5 Diablo IV Edition – €159.99
  • SteelSeries QCK Heavy XXL Diablo IV Edition – €49.99

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd