Umum sedia tahu Samsung juga mempunyai pelbagai pilihan monitor tersendiri. Pada tahun ini sebanyak tiga pilihan baharu telah diumumkan menerusi Smart Monitor M8, M7 dan M5 yang didatangkan dalam pelbagai saiz dan peningkatan ciri berbanding generasi terdahulu.

Bermula dengan Smart Monitor M8 (M80C) dan M7 (M70C), kedua-duanya berkongsi sebahagian besar fungsi yang sama. Ia hadir dengan skrin rata sebesar 32-inci 3840 x 2160 (4K UHD) yang juga menyokong kadar segar semula 60Hz dan masa tindak balas 4ms. Ini dipadankan pula dengan beberapa ciri tambahan lain seperti pensijilan HDR10+, tahap kecerahan mencapai 400 cd/㎡ dan nisbah kontras 3,000:1.

Kedua-duanya juga hadir dengan leher yang boleh diputar 90 darjah untuk paparan menegak dan ketinggian boleh dilaras. Selanjutnya terdapat juga lima pembesar suara terbina disertakan sesuai dengan tujuan utama peranti bagi mewujudkan suasana kerja yang menyeronokkan. Terdapat juga pembantu suara terbina seperti Bixby dan Alexa yang membenarkan kawalan menggunakan suara dilakukan.

Selanjutnya pengguna juga boleh menikmati pelbagai platform penstriman atas talian seperti Prime Video, Netflix dan YouTube dengan mudah menerusi ciri Smart Hub. Pilihan I/O pula terdiri dengan 1 X HDMI(2.0), 2 X USB-A dan 1 X USB-C (65W). Cumanya kelebihan untuk model M8 yang mempunyai sokongan kamera FHD bermagnet boleh ditanggalkan yang juga menyokong sambungan secara nirwayar.

Bercakap mengenai Smart Monitor M5 (M50C) pula boleh didapati dalam dua pilihan saiz sama ada 332-inci atau 27-inci. Ini dipadankan juga dengan skrin sejenis rata bernisbah aspek 16:9, resolusi FHD, tahap keterangan 250nits, HDR10+ dan masa tindak balas 4ms. Ia juga model asas tanpa kebolehan leher yang boleh diputar 90 darjah seperti dua variasi diatas. Seterusnya pilihan I/O pula terhad dengan sokongan 2 X HDMI(1.4) dan 2 X USB-A sahaja.
Tiada harga jualan yang didedahkan untuk ketiga-tiga monitor buat masa ini.