Cari @ Amanz

Amerika Syarikat mempunyai Space-X yang menawarkan perkhidmatan StarLink. Di Malaysia pula kita ada Angkasa-X dengan syarikat tempatan ini mengumumkan mereka akan melancarkan satelit pertama mereka pada 27 Jun hadapan dari Vostochny Cosmodrome di Rusia. Satelit pertama mereka A-SEANSAT-PG1 adalah dari jenis satelit nano yang akan menjadi sebahagian daripada 500 satelit yang dirancangkan akan dilancarkan oleh Angkasa-X dengan empat akan dilancarkan dalam tempoh empat tahun akan datang.

Selain menawarkan perkhidmatan Internet menggunakan satelit, Angkasa-X juga akan menawarkan perkhidmatan penjejakan kapal untuk meningkat keselamatan maritim di rantau Asia Tenggara. Perkhidmatan pengimejan dan memantau menerusi teknologi internet-benda juga bakal ditawarkan.

Angkasa-X ingin menawarkan perkhidmatan satelit-sebagai-perkhidmatan (SaaS) kepada pelanggan di rantau Asia Tenggara dengan kesemua satelit mereka beroperasi dari ketinggian orbit bumi rendah (LEO).

Langkah pertama mereka ini diharap dapat menarik minat pelaburan ke sektor aeroangkasa Malaysia khususnya di Pulai Pinang. Tahun lalu Angkasa-X mengumumkan pembinaan pusat teknologi angkasa lepas di kamus Universiti Sains Malaysia Nibong Tebal bernilai RM30 juta.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd