Anthony Tan dan Tan Hooi Ling merupakan dua nama penting dalam industri teknologi dan aplikasi rantau Asia Tenggara, dimana mereka telah membangunkan Grab bersama-sama sejak 2012. Anthony Tan ialah Ketua Pegawai Eksekutif, manakala Tan Hooi Ling pula merupakan Ketua Pegawai Operasi dan mengepalai bahagian pembangunan teknologi syarikat tersebut.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa Tan Hooi Ling akan meletakkan kesemua jawatan-jawatan yang terlibat dengan operasi syarikat tersebut menjelang penghujung tahun ini. Menurut sejumlah laporan, beliau akan melepaskan jawatannya secara berperingkat dan akan menjadi penasihat bukan eksekutif syarikat tersebut.
Bukan itu sahaja, beliau juga akan meletakkan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah di Grab, tetapi penggantinya untuk semua kedudukan-kedudukan ini hanya akan dicari selepas beliau melepaskan beberapa tanggungjawab di syarikat tersebut, menurut memo syarikat yang dikeluarkan baru-baru ini.