Diantara produk yang akan diperkenalkan oleh Acer sewaktu acara COMPUTEX Taipei yang akan berlangsung pada minggu hadapan ialah salah sebuah komputer riba gaming kelas premium mereka, iaitu Predator Triton 16.
Komputer riba gaming ini hadir dengan paparan skrin IPS berbingkai bersaiz 16 inci pada resolusi 2560×1600 dengan kadar segar semula 240Hz dan nilai kecerahan 500 nit. Ia juga mampu mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan menyokong teknologi paparan NVIDIA G-SYNC yang menjanjikan pengalaman gaming yang lancar dan tiada isu carikan skrin.

Dari segi komponen pula, Predator Triton 16 hadir dengan pilihan cip pemprosesan Intel generasi ke-13 sehingga pilihan Intel Core i9 yang boleh dilewahjam ke 5.4GHz, dengan memori DDR5 sebanyak 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 2TB dalam konfigurasi RAID-0.
Predator Triton 16 juga hadir dengan pilihan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 4070 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan apa sahaja permainan moden pada resolusi 1440p pada kadar segar semula dan juga tetapan yang tinggi.
Jika anda memerlukan sebuah komputer riba dengan palam yang banyak, Predator Triton 16 ini juga tampil dengan pilihan seperti dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam Thunderbolt 4 yang boleh digunakan untuk mengecas bateri komputer riba ini, satu palam HDMI 2.1 yang menyokong output ke paparan skrin beresolusi 4K dan pembaca kad MicroSD. Ia juga mempunyai sokongan untuk sambungan internet nirwayar WiFi 6E yang pantas.

Didalam rangka bersaiz 19.9mm ini ialah sistem penyejukan Vortex Flow yang menggunakan kipas penyejukan Aeroblade 3D generasi ke-5 dan juga cecair logam yang membantu dalam mengalirkan haba daripada bahagian komponen ke sistem penyejukan dengan lebih cekap.
Predator Triton 16 akan diperlihatkan terlebih dahulu di acara COMPUTEX Taipei pada minggu hadapan, dan akan dilancarkan di pasaran-pasaran terpilih pada bulan September kelak pada tanda harga permulaan $1799.99.