Acer ialah syarikat teknologi dari Taiwan yang cukup terkenal untuk penawaran produk-produk perkomputeran mereka, seperti komputer desktop, komputer riba, aksesori gaming, paparan skrin dan sebagainya.
Baru-baru ini, mereka telah mengumumkan kehadiran sebuah produk baru dalam bentuk sebuah penghala WiFi yang dinamakan Acer Connect Vero W6m. Vero merupakan penjenamaan oleh Acer untuk produk-produk mereka yang menggunakan bahan kitar semula (Post Consumer Recyclable) didalam binaan dan komponen-komponen sesebuah produk.

Oleh itu, Acer Connect Vero W6m ini merupakan sebuah penghala WiFi yang menggunakan bahan kitar semula didalam produknya, dan secara khusus, sekitar 30 peratus daripada binaan penghala WiFi ini adalah menggunakan bahan PCR tersebut.
Walaupun rangka peranti ini menggunakan bahan kitar semula, ia masih lagi hadir dengan prestasi yang mengagumkan. Sebagai contoh, ia menyokong teknologi WiFi 6E Tri-band AXE7800 yang menyokong tiga frekuensi nirwayar, termasuklah 2.4GHz, 5.0GHz dan 6.0GHz dan mempunyai kelajuan penghantaran data secara tempatan sepantas 7.8Gbps.

Lebih menarik lagi, anda juga boleh menyambungkan penghala WiFi ini dengan unit-unit lain untuk memanjangkan lagi radius kawasan sambungan WiFi dengan satu ataupun tiga unit tambahan, sehingga 930m².

Perkakasan ini dikuasakan oleh sebuah cip pemprosesan MediaTek A53 dengan dua teras pada kelajuan 2GHz, memori terbina 1GB dan storan 4GB terbina. Butiran lanjut mengenai produk ini tidak diumumkan lagi, tetapi ia juga dikatakan mudah untuk digunakan dan hadir dengan sejumlah ciri keselamatan yang memastikan rangkaian WiFi rumah ataupun pejabat anda selamat digunakan.
Buat masa ini, mereka masih belum mengumumkan bilakah penghala WiFi Acer Connect Vero W6m ini akan dilancarkan, dan juga harga jualannya.