Kami mempunyai beberapa Appe Pencil di rumah kerana ada yang hilang secara rawak. Ia mungkin di bawah katil,sofa, atau di atas para buku. Kami tidak tahu lokasi sebenarnya kerana tidak seperti produk Apple yang lain, Apple Pencil tidak boleh dijejak menggunakan sistem Find My.
Tetapi Apple telahpun memfailkan paten untuk Apple Pencil dengan sistem speaker terbina. Ini besar kemungkinan akan membolehkan ia berbunyi apabila dijejak menggunakan sistem Find My di masa hadapan. Turut dapat dilihat pada dokumen paten ialah terdapat motor haptik yang memberikan petunjuk Apple Pencil ini boleh bergetar.
Seperti biasa kewujudan paten tidak bermakna ia akan menjadi produk sebenar. Apple terkenal dengan tabiat memfailkan paten tetapi mengambil masa yang amat lama sebelum ia dipasarkan kepada pengguna.