Carian
Ulasan Tecno Phantom V Fold – Versi Ekonomi, Ada Kompromi
May 30, 2023 Effi Saharudin

Harga peranti skrin boleh-lipat di Malaysia boleh mencecah RM8888 sebuah seperti yang dapat dilihat pada Huawei Mate X3. Di penghujung spektrum yang satu lagi wujud pula Tecno Phantom V Fold yang merupakan peranti skrin boleh-lipat dari jenis skrin besar paling murah di pasaran sekarang. “Murah” di sini adalah relatif kepada peranti dalam kelasnya kerana setiap V Fold di Malaysia dijual pada harga RM5399 sebuah.

Jadi apakah kekurangan dan apa pula kelebihan yang ada pada V Fold? Ulasan ini akan cuba menjawab kesemua persoalan ini dari perspektif kami yang sudah menggunakan kesemua peranti skrin boleh-lipat yang telah dilancarkan setakat ini.

SPESIFIKASI

Tecno Phantom V Fold
SkrinLuar – 6.42″ AMOLED, LTPO 120Hz
Dalam – 7.85″ AMOLED LTPO 120Hz
PemprosesDimensity 9000+
Cip1 X 3.2 GHz Cortex X2
3 X 2.85 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikMali-G710 MC10
RAM12 Gigabyte LPDDR5X
Muatan Dalaman512GB UFS 3.1
Kamera Utama50 MP, f/1.9 (Sudut Lebar)
13 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar)
50 MP, f/2.0 (Telefoto) 2x Zum Optical
4K 60p
Kamera Depan32 Megapixel f/2.5 (Depan)
16 Megapixel f/2.5 (Dalam)
FHD 60p
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 45W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanCap jari terbina sisi
Harga JualanRM5399 (12/512 GB)

SKRIN

Skrin luar 6.42″ adalah dari keluarga AMOLED LTPO dengan sokongan kadar segar semula 10-120Hz bergantung pada aplikasi yang dibuka. Ia mempunyai nisbah skrin yang sama dengan Magic Vs yang menjadikan penggunaannya sangat selesa. Tiada isu langsung untuk menaip atau membuka aplikasi biasa. Oleh sebab itu kami jarang sekali merasakan perlu menggunakan skrin dalaman yang besar.

Kerana dari keluarga AMOLED, panel memaparkan warna yang nampak hidup dan juga masih senang melihat skrin di bawah cahaya matahari yang terik. Terdapat bezel yang agak nipis dan lubang kamera di bahagian atas.

Di bahagian dalam pula skrin oleh 7.85″ AMOLED juga dari jenis LTPO 10-120Hz seperti pada skrin luar. Ini adalah satu kelebihan V Fold berbanding Magic Vs yang hanya menggunakan skrin 90Hz di bahagian dalam. Skrin ini juga mempunyai satu lubang kamera pada “pintu” kanan. Tecno masih belum bersedia menggunakan kamera bawah skrin seperti Samsung.

Kedua-dua skrin menyokong paparan HDR. Tetapi Kami sedari hanya Prime Video dan YouTube menyokong mod HDR pada V Fold. Disney+ Hotstar dan Netflix boleh memaparkan kandungan HDR sahaja.

Pada minggu pertama tiada garis lipatan yang ketara dapat kami lihat di skrin dalaman. Yang kami sedari ialah engsel pada V Fold adalah agak keras di peringkat awal. Semasa membuka skrin, pengguna akan terkejut kerana ia seperti mempunyai spring yang menolaknya terbuka dengan pantas. Sangat canggung perasaannya kerana ia tidak berlaku pad Z Fold2, Find N2 dan Magic Vs yang kami ulas untuk Amanz sebelum ini.

Selepas sekitar dua minggu engsel ini mula terasa lebih longgar. Aksi skrin terbuka mengejut hilang secara magis. Ini juga tempoh yang diperlukan untuk garis lipatan skrin mula kelihatan dengan agak ketara. Semua peranti skrin boleh-lipat dari jenis “Fold” mempunyai isu ini berdasarkan pengalaman kami.

Maka bolehlah disimpulkan belum ada pengeluar peranti yang mampu menyelesaikan isu kesan lipatan walaupun peranti jenis ini sudah hampir memasuki tahun ke-lima ia dilancarkan kepada umum.

Skrin V Fold mempunyai dua isu yang kami rasakan perlu disentuh kerana kami kategorikan sebagai agak serius. Pertama sekali ialah haptik yang terasa murah kerana menggelikan jari. Terasa seperti sistem haptik sebuah telefon kelas permulaan. Tidak sesuai langsung untuk peranti berharga RM5399.

Isu kedua mod keterangan skrin automatik V Fold yang berfungsi perlahan. Waktu yang diambil untuk menyedari berlaku perubahan keterangan sekeliling adalah sekitar 2-3 saat sebelum mengambil masa 2-3 saat lagi untuk peranti mengubah keterangan skrin. Kerana terlalu lambat kami matikan sahaja mod keterangan skrin automatik ini sepanjang tempoh ulasan.

BIOMETRI

Pengimbas cap jari sisi yang digunakan adalah pantas dan agak konsisten. Lokasinya yang terbina pada butang kuasa memudahkan lagi ia dicapai oleh jari kami semasa memegangnya. Sistem biometri wajah juga pantas asalkan dalam keadaan terang. Tiada pengimbas infra merah digunakan maka ia tidak boleh digunakan pada waktu malam.

REKAAN

Rekaan V Fold sebenarnya tidak sama dengan Z Fold4 atau Magic Vs. Dalam keadaan terlibat masih terdapat sedikit rongga kosong antara skrin. Tidak sebesar pada Z Fold4 tetapi juga tidak rapat sepenuhnya seperti pada Magic Vs. Sungguhpun begitu ia masih lagi terasa nipis dalam tangan serta kocek seluar.

Butang. kuasa merangkap pengimbas cap jari diletakkan pada sisi kanan bersama dengan butang laras audio. Kedua-dua butang diletakkan pada “pintu” kanan skrin boleh-lipat. Oleh itu apabila dibuka kedudukan butang tidak berubah. Ini berbeza dengan rekaan Magic Vs yang meletakkan butang laras audio pada “pintu” kiri yang menyebabkan berlaku kekeliruan apabila butang ini tiba-tiba berada di sebelah kiri apabila skrin dibuka.

Talam SIM diletakkan pada bahagian bawah pintu kiri bersama salah satu kekisi speaker . Pada sisi bertentangannya terdapat sebuah lagi kekisi speaker. Akhir sekali port USB-C untuk pengecasan diletakkan di bahagian bawah pada pintu kanan peranti.

Pada bahagian engsel terdapat tekstur kasar yang membolehkan jari disangga dengan lebih kemas apabila dipegang. Dalam tangan peranti selesa dipegang dalam keadaan tertutup dan juga terbuka. Panel belakang juga mempunyai kemasan seakan kulit yang lembut meningkatkan lagi keselesaan peranti ketika digunakan.

Sistem tri-kamera utama diletakkan dalam sebuah bonggol kamera berbentuk bulat. Kerana saiznya yang besar dan ia juga agak tinggi, peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja. Tecno memberikan sebuah kerangka plastik yang mempunyai corak seakan gentian karbon. Kerangka ini terlalu nipis untuk benar-benar menyerap hentakan sekiranya peranti terjatuh.

Pada bahagian belakang terdapat bonggol besar berbentuk bulat yang meletakkan tiga kamera – 50MPsudut lebar f/1.9, 13MP ultra sudut lebar f/2.2 dan 50MP telefoto f/2.0 yang menyokong zum optikal 2x serta zum digital sehingga 20x. Bonggol ini adalah cukup besar sehingga menyebabkan peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Dua kamera swafoto yang digunakan pula sebesar 16MP f/2.5 yang di dalam dan 32MP f/2.5 di bahagian luar.

Galaxy Z Fold4 vs Phantom V Fold

Bateri pula sebesar 5000 mAh yang merupakan kapasiti yang sama besar dengan Magic Vs. Pengecasan yang disokong hanyalah secara berwayar pada kuasa maksimum 45W. Tiada bicu audio, pemancar infra merah atau slot untuk kad mikro SD disertakan pada peranti mercu ini.

Satu lagi perkara yang lebih kami rasakan ketiadaannya ialah sebarang penarafan kalis air. Dengan kata lain jika anda menggunakan V Fold, pastikan akan menyimpan peranti dengan segera jika terperangkap dalam hujan. Adalah lebih baik jika sokongan sekurang-kurangnya IPX8 seperti yang dilakukan Samsung dan Huawei tetap ini adalah ciri yang sering dikorbankan demi menjimatkan kos pengeluaran.

PERISIAN DAN PENGALAMAN PENGGUNAAN

Sistem operasi HiOS 13 Fold yang berasaskan Android 13 digunakan. Ini adalah kali pertama kami mengulas peranti Tecno maka kami tidak tahu apakah perbezaannya dengan versi biasa dan tahap kelancarannya. Kita mulakan dengan berita baik terlebih dahulu. Proses melancarkan aplikasi adalah pantas begitu juga dengan proses bertukar antara aplikasi yang dibuka. Terdapat antaramuka multi-tugas yang kemas khususnya dalam mod tablet. Sehingga 9 aplikasi dapat dilihat dengan jelas pada skrin multi-tugas bagi memudahkan pilihan.

HiOS menyokong sepenuhnya Google Mobile Services (GMS). Maka tidak ada masalah untuk anda menggunakan perkhidmatan Google. Kami perlu letakkan perenggan ini kerana ada yang bertanya adalah V Fold mempunyai GMS. Semua aplikasi popular boleh dimuat turun menerusi Play Store dan dipasang.

Dalam mod tablet, terdapat taskbar kecil di bawah yang memaparkan lima pintasan pantas kepada aplikasi pilihan dan tiga lagi ikon untuk aplikasi yang baru sahaja digunakan. Ini sedikit sebanyak memudahkan proses menukar aplikasi dengan pantas. Tetapi taskbar HiOS tidak sebaik taskbar Samsung One UI 5.1 yang menunjukkan lebih banyak aplikasi yang dibuka. Ia juga sentiasa dipaparkan di bahagian bawah skrin. Dari segi kepantasan, perisian Samsung masih lagi tidak boleh dikalahkan oleh pengeluar telefon boleh-lipat pengeluar lain.

Mod gestur yang disokong adalah amat pelbagai. Gestur lima jari secara automatik menukar aplikasi dalam mod skrin penuh ke tingkap kecil yang terapung. Melancarkan mod dua aplikasi dilancarkan serentak juga semudah menatal satu jari ke bawah dari bahagian tengah-tengah skrin. Pasangan dua aplikasi yang ingin dilancarkan serentak juga boleh disimpan cuma diakses menerusi skrin multi-tugas dengan ikon diletakkan di bahagian atas.

Harus diakui gestur yang disokong adalah amat bagus tetapi kami merasakan animasi yang dipaparkan dalam tutorial bertukar terlalu pantas untuk kami mempelajarinya. HiOS juga mempunyai pelbagai tetapan lain yang memastikan semua aplikasi boleh digunakan pada skrin lipat yang besar dan mod yang membolehkan aplikasi dari skrin luar dibuka terus pada skrin dalam (dan berbalik). Dari segi sokongan ciri ia setanding dengan Magic Vs tetapi di belakang Z Fold4.

Tetapi implementasi kesemua ciri ini yang mengecewakan kami. Untuk mod melancarkan dua aplikasi serentak dalam dua tingkap misalnya, animasi mengambil masa sehingga dua saat. Saiz tingkap juga tidak boleh diubah. Jika anda mencubanya juga, secara automatik salah satu aplikasi tadi akan ditutup.

Isu tidak lancar ini juga kami sedari apabila membuka aplikasi dari skrin luar ke dalam. Ia mengambil masa sehingga dua saat sebelum aplikasi boleh digunakan. Ia mengingatkan kami kepada pengalaman menggunakan Z Fold generasi pertama. Dengan HiOS 13 Fold berasaskan Android 13, isu ini sepatutnya tidak timbul kerana Android 13 mempunyai kesemua ciri Android 12L yang menyokong peranti skrin boleh-lipat.

Anda mahukan Flex Mode yang ada pada N2 Flip, Z Flip4, Z Fold4 dan Find N2? Ia tidak ada pada V Fold. Malahan skrin V Fold tidak boleh dibuka ke bentuk L kerana engsel tidak membenarkannya. Mahu letakkan peranti dalam mod separuh terbuka dan menonton video pada skrin luar tanpa tongkat seperti pada Z Fold4? Maaf ini juga tidak disokong. Ketiadaan dua ciri standard Androd 12L ini memilukan.

Mana Flex Mode?

Kurang masuk akal peranti dengan MediaTek Dimensity 9000+, dan 12GB RAM mempunyai isu sela masa. Find N2 Flip yang kami ulas dan menggunakan cip yang sama memberikan pengalaman yang lebih lancar. Kerana isu ini kami meningkatkan jumlah RAM ke 21GB secara maya menerusi ciri MemFusion. Isu yang sama masih kami hadapi. Bercakap mengenai MemFusion, pengguna boleh menambah memori maya sebanyak 3, 6 atau 9 GB jika diperlukan.

Jika Tecno ingin bersaing dengan pengeluar lain dalam segmen peranti skrin boleh-lipat, perisian mereka perlu ditambah baik kerana pengalaman penggunaan V Fold kadang-kala seperti menggunakan peranti dengan cip kelas pertengahan Snapdragon 695 atau Dimensity 720.

PENANDA ARAS

Cip Dimesity 9000+ adalah cip yang berada dalam kelas yang sama dengan Snapdragon 8+ Gen 1. Ia digunakan juga pada Oppo Find N2 Flip. Seperti yang telah kami katakan di atas, pengalaman penggunaan V Fold adalah kurang lancar. Tetapi bagaimana pula skor yang dicatatkan dalam ujian sintetik GeekBench 6, Antutu 3D dan 3D Mark?

Berikut adalah markah penanda aras Tecno Phantom V Fold dibandingkan dengan Oppo Find N2 Flip (Dimensity 9000+), Galaxy Z Fold4 (Snapdragon 8+ Gen 1), Honor Magic Vs (Snapdragon 8+ Gen 1,) OnePlus 11 (Snapdragon 8 Gen 2), dan iPhone 14 Pro Max (Apple A16 Bionic)

Geekbench 6

  • Tecno Phantom V Fold – 1238/3776
  • Honor Magic Vs – 1276/3822
  • Oppo Find N2 Flip – 1028/3088
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 1422/3764
  • OnePlus 11 – 1495/4805
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317

Antutu 3D

  • Tecno Phantom V Fold – 994,304
  • Honor Magic Vs – 804,494
  • Oppo Find N2 Flip – 756,646
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 980,346
  • OnePlus 11 – 1,104,135
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

Wild Life Extreme

  • Tecno Phantom V Fold – 2567
  • Honor Magic Vs – 2651
  • Oppo Find N2 Flip – 2617
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 2798
  • OnePlus 11 – 3712
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373

Markah ujian penanda aras yang dicatatkan adalah tinggi lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan N2 Flip. Tetapi prestasi multi-tugasan dan kelancaran membuatkan pengalaman tidak setara markah. Peranti juga mudah menjadi panas. Kami sedari ia menjadi panas apabila digunakan sebagai hotspot WiFi. Dari segi pengalaman permua pula, COD Mobile, PUBG Mobile dan Asphalt 9 boleh dimainkan pada tetapan tinggi cuma peranti akan menjadi sedikit panas selepas sesi permainan video yang agak panjang.

Ini mungkin sebab mengapa skor V Fold lebih tinggi berbanding N2 Flip. Semasa mengulas N2 Flip tiada isu peranti menjadi panas. Mungkinkah Oppo merendahkan kelajuan cip mereka demi mengelakkan isu ini?

TELEFONI Dan GPS

Rangkaian 5G boleh disokong dengan baik dan terdapat juga sokongan VoLTE dan VoWiFi jika syarikat telekomunikasi anda menawarkannya. Panggilan suara adalah jelas tanpa sebarang masalah sambungan. Masalah yang kami sedari hanya satu iaitu kadang kala SMS tidak sampai. Ini menimbulkan isu ketika cuba mengaktifkan Disney+ HotStar, WhatsApp dan Grab yang memerlukan kod pengaktifan SMS.

Adakah ini masalah syarikat telekomunikasi ataupun telefon kami tiada jawapannya. Yang kami tahu proses meminta SMS perlu dilakukan beberapa kali sebelum ia secara rawak boleh pula diterima dengan selamat.

Prestasi GPS pula seperti lampu lip lap di Hari Raya. Kejap elok kejap gagal secara total. Kami gunakan V Fold minggu lalu apabila Kuala Lumpur mengalami kesesakan lalulintas yang teruk kerana hujan di petang hari. Apabila Waze dibuka kadang kala lokasi tidak dapat dijejak dengan pantas (sehingga 5 saat).

Terlepas simpang? Ikon kereta dalam Waze tidak berubah untuk menunjukkan lokasi sebenar selama 5 saat lagi. Ada sela masa sebelum lokasi sebenar kereta dapat dipaparkan dalam aplikasi. Bagi sebuah peranti mercu, prestasi GPS V Fold tidak memuaskan.

KAMERA

Sistem kamera adalah agak lengkap kerana kamera utama terdiri daripada 50MP sudut lebar f/1.9, 13MP ultra sudut lebar f/2.2 dan 50MP telefoto f/2.0 yang menyokong zum optikal 2x serta zum digital sehingga 20x. Dua kamera swafoto yang digunakan pula sebesar 16MP f/2.5 yang di dalam dan 32MP f/2.5 di bahagian luar.

Perisian kamera mempunyai semua ciri perlu seperti Potret, landskap, mod malam dan lensa AR. Terdapat juga mod skrin luar digunakan sebagai viewfinder untuk merakam gambar swafoto dan swavideo. Tetapi sekali perisian Tecno menyebabkan pengalaman penggunaan kamera tercemar. Proses menukar antara lensa sudut lebar, ultra sudut lebar dan zum optikal mengambil masa

Gambar yang diambil nampak lembut kerana semua lensa tidak mempunyai OIS. Oleh sebab itu imej yang terhasil tidak tajam walaupun dalam keadaan pencahayaan yang baik. Gambar yang terhasil juga sedikit kuning berbanding situasi sebenar.

Bolehlah dirumuskan kemampuan kamera V Fold adalah sederhana. Masih tidak setanding V Fold4, Find N2 atau Magic Vs. Majalah kami rasakan ia tidak sebaik N2 Flip pada waktu ini. Jika V Fold 2 dilancarkan, Tecno perlu menyertakan OIS pada sekurang-kurangnya satu lensa.

Ini pula hasil tangkapan kamera dalam mod zum 1x, 2X, 15x dan 20x. Hasil tangkapan baik sehingga sekitar 5X zum sahaja. Melangkui tahap ini imej yang terhasil mula pecah. Zum digital adalah sehingga 2x sahaja maka kemampuan zum adalah terhad. Ini tidak dibantu oleh lensa yang tidak mempunyai sistem OIS.

BATERI

Hayat bateri adalah sehingga 16 jam dan SOT pula hampir 7 jam. Prestasi bateri yang menyedihkan kerana bateri sebesar 5000 mAh. Pada Magic Vs dengan bateri yang sama, SOT sehingga 10 jam boleh dicapai secara konsisten. Kami rasakan cip Dimensity 9000+ yang kerap menjadi panas adalah sebab mengapa bateri V Fold tidak bertahan lama.

Masa untuk mengecas semula bateri adalah sekitar 60 minit. Walaupun tidak pantas, pengecas ini diberikan dengan setiap pembelian. Satu lagi ciri yang kami suka ialah terdapat sistem penggera yang berbunyi apabila bateri dicas 100%. Ini adalah ciri yang kami harap diberikan pada peranti lain kerana boleh mengelakkan bateri mengalami kerosakan dengan pantas.

AUDIO

Speaker stereo dibekalkan tetapi tanpa sebarang sistem tambahan seperti Dolby Atmos. Audio juga sekadar sederhana seperti prestasi kamera. Ianya lantang dan jelas. Sekurang-kurangnya pada tetapan tertinggi bunyi masih elok.

PESAING

Tecno Phantom V FoldSamsung Galaxy Z Fold4Honor Magic Vs
Luar – 6.42″ LTPO OLED, 120Hz
Dalam – 7.85″ LTPO OLED, 1290Hz, HDR10+
Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz
Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+
Luar – 6.45″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.9″ OLED, 90Hz, HDR10+
Dimensity 9000+ (4nm)
1 X 3.2 GHz Cortex X2
3 X 2.85 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Mali-G710 MC10Adreno 730Adreno 730
12 GB LPDRR512 GB LPDRR512 GB LPDRR5
512 GB UFS 3.1256/512/1000 GB UFS 3.1512 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50MP, f/1.9 Sudut Lebar
50MP, f/2.0 Telefoto, 2X Zum Optikal
13MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar
Kamera Utama
50MP, f/1.8 Sudut Lebar, OIS
10MP, f/2.2 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS
12MP, f/2.4 Ultra Sudut Lebar
Kamera Utama
54MP, f/1.9 Sudut Lebar, OIS
8MP, f/2.4 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS
50MP, f/2.0 Ultra Sudut Lebar
Kamera Hadapan
32-MP f/2.5
16-MP f/2.6
Kamera Hadapan
10-MP f/2.2
4-MP f/1.8 (UDC)
Kamera Hadapan
16-MP f/2.6
16-MP f/2.6
Tidak kalis airIPX8Tidak kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 45W)4400 mAh (Berwayar 25W)5000 mAh (Berwayar 66W)
Harga RM 5399RM 6799 (12/256GB)
RM 7299 (12/512GB)
RM 8299 (12/1000GB)
Harga RM 5999

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Tecno Phantom V Fold
  • 1x Kerangka plastik.
  • 1x Pengecas 45W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Tecno Phantom V Fold ialah telefon skrin boleh-lipat jenis Fold yang paling mampu milik di pasaran Malaysia. Ia menawarkan skrin yang lebar di luar membolehkan ia digunakan dengan selesa tanpa perlu dibuka terlebih dahulu. Rekaannya juga menarik kerana panel belakang yang mempunyai kemasan seperti sebuah kamera analog klasik. Dengan Dimensity 9000+ dan 12GB RAM, ia juga boleh menjalankan pelbagai aplikasi popular dengan pantas.

Tetapi pada semua peranti “mampu milik” terdapat beberapa kompromi di sini. Perisian tidak cukup matang membuatkan penggunaan terasa perlahan. Ini tidak dibantu oleh tiadanya ciri standard peranti skrin boleh-lipat seperti Flex Mode, mod skrin automatik yang pantas, dan pertukaran aplikasi antara skrin dalam/luar yang pantas. Kekurangan turut dirasakan pada kamera yang perlahan, serta GPS yang bermasalah. Hayat bateri pendek juga menjadi satu lagi kekurangan yang sukar dimaafkan kerana kapasitinya yang besar.

Di Malaysia Tecno Phantom V Fold dijual pada harga RM5399 tetapi pada waktu ini boleh dibeli pada harga RM4999 sepanjang tempoh promosi. Walaupun “mampu milik” berbanding Z Fold4, Mate X3, dan Magic Vs kami tidak menyarankan anda membelinya pada waktu ini. Kesemua kompromi yang kami senaraikan tadi membuatkan V Fold terasa seperti sebuah peranti kelas pertengahan dengan cip Snapdragon 695.

Tidak masuk akal membayar hampir RM5000 sedangkan ada peranti mercu lain yang lebih baik pada harga mampu milik seperti OnePlus 11. Jika anda ingin juga peranti skrin boleh-lipat, kami sarankan Magic Vs yang mengimbangi prestasi yang memuaskan, rekaan yang mantap dan harga yang walaupun mahal (RM5999) tetapi masih membuatkan pembelian berbaloi.

Pro

  • Skrin luar dan dalam LTPO 120Hz
  • Dimensity 9000+ berkuasa membolehkan banyak aplikasi digunakan tanpa isu.
  • Rekaan lebih nipis berbanding Z Fold4.
  • Pelbagai ciri gestur yang berguna.
  • Peranti selesa digunakan sebelah tangan.
  • Speaker stereo lantang.

Kontra

  • Tidak kalis air.
  • Tiada ciri boleh lipat biasa seperti Flex Mode.
  • Perisian yang tidak menawarkan penggunaan seakan peranti mercu.
  • Kamera perlahan.
  • Hayat bateri yang tidak setanding kapasiti.
Komen