Cari @ Amanz

WordPress merupakan salah satu sistem pengurusan kandungan web yang sangat popular, dan digunakan ramai. Malah, kami di Amanz sendiri menggunakan WordPress untuk memudahkan penulisan dan penerbitan.

Hari ini, 27 Mei 2023 merupakan ulang-tahun ke-20 sejak WordPress diperkenalkan. Ia sekaligus mencatatkan sebuah pencapaian bersejarah untuk WordPress, apatah lagi dengan hampir 43% web dijana menggunakan WordPress.

WordPress sebelum ini telah dimulakan pada 2003 sebagai sistem sumber terbuka, yang dibangunkan berasaskan kepada sistem b2/cafelog ketika itu. Sejak awal lagi, ia menerima perhatian ramai kerana sistemnya yang mudah, dan memfokuskan kepada penerbitan kandungan. 

Sejak daripada itu, WordPress telah menambah sistem tema untuk memudahkan rekabentuk web, selain sokongan pemalam dalam terus menambah ciri-ciri tambahan yang diperlukan. Pada hari ini, selain untuk penerbitan kandungan, WordPress turut digunakan untuk pelbagai perkara, termasuk pembangunan sistem edagang, sistem komuniti, termasuk pembangunan aplikasi seperti Sarwa.

Komuniti dan industri disebalik WordPress juga sangat besar pada hari ini, dengan ramai pembangun dan perekabentuk yang menjana pendapatan melaluinya, disamping perniagaan yang bergantung kepada WordPress.

WordPress turut menekankan yang mana pencapaian 20 tahun ini adalah disebabkan oleh ia beroperasi sebagai sumber terbuka – sekaligus membolehkan ramai yang menyertai komuniti dan membantu dalam pembangunan dan penggunaannya.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd