Carian
Make1tFeature Dinobatkan Sebagai Juara Acara PayHack 2023 – Bawa Pulang RM20,000
May 28, 2023 Amy Maizuraa

Setelah seharian diadakan sejak Sabtu, acara PayHack 2023 akhirnya melabuhkan tirai dengan senarai nama pemenang yang sudah diumumkan pada hari ini. Acara ini telah dianjurkan secara bersama oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Microsoft, MDEC, My Startup dan Cradle.

Melaluinya kumpulan Make1tFeature telah dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama sekaligus membawa pulang wang tunai RM20,000. Kumpulan berkenaan membawa pulang anugerah utama itu selepas berjaya menarik perhatian para juri menerusi projek dinamakan sebagai EveryPay.

Tempat kedua pula dimenangi oleh kumpulan Say dan beroleh wang tunai berjumlah RM15,000 menerusi perbentangan projek Shop ‘n Go. Dalam pada itu, tempat ketiga dimenangi oleh Holy Pandas yang menerima wang tunai RM5,000 dengan projek dikenali sebagai FixerPay. Selain wang tunai kesemua pemenang disenaraikan tadi turut membawa pulang trofi dan juga sijil penyertaan.

Sementara itu tujuh peserta lain masing-masing membawa pulang hadiah sagu hati berjumlah RM1,000 berserta sijil penyertaan. Kesemua pemenang ini terdiri dengan kumpulan CodeLine(5) (MuleZero), JTE (WasteNoMoney), Backend Cluster (Swift Pay Plus), Revenue Monster (I Can Pay), y2k (My-Saku), Freceipts (Guardian Angel) dan Lemonade (GiveNow).

Acara PayHack 2023 terbuka kepada mana-mana individu, sama ada belajar, bekerja atau lain-lain yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu. Sebanyak empat cabaran disediakan yang mana memerlukan setiap kumpulan memilih sama ada satu atau lebih bergantung dengan jenis projek yang dibuat.

Kami turut difahamkan acara PayHack 2023 ini merupakan kali pertama diadakan oleh pihak PayNet bertujuan untuk menarik orang ramai mengenali dengan lebih dekat peranan mereka. Lebih 200 peserta dengan 50 kumpulan penyertaan diterima bagi merebut hadiah dan anugerah yang ditawarkan.

Komen