Carian
ARM Memperkenalkan CPU Cortex-X4, A720, A520 Dan GPU Immortalis-G720 Untuk Cip 2023
May 29, 2023 Effi Saharudin

Hari yang sangat sibuk kerana Computex 2023 diteruskan dengan pengumuman keluarga baharu CPU dan GPU di bawah keluarga ARMv9.2 oleh ARM pagi ini. Tiga CPU terkini Cortex-X4, Cortex-A720, dan A520 ialah tiga CPU terkini yang bakal digunakan oleh SOC terkini tahun 2023. Turut diumumkan ialah GPU Immortalis-720, Mali-G720 dan Mali-G620.

Cortex-X4 memberikan peningkatan prestasi sehingga 15% berbanding Cortex-X3 tetapi menjimatkan penggunaan kuasa sehingga 40%. Sementara itu Cortex-A720 menawarkan penjimatan kuasa sehingga 20% manakala Cortex-A520 pula penjimatan sehingga 22%. Lebih menarik ialah konfigurasi kluster teras 1+5+2 (Cortex-X4, Cortex-A720 dan Cortex A520) pada SOC mercu tahun ini berbanding 1+4+3 pada Snapdragon 8 Gen 2 misalnya.

Kesemua CPU ini hanya menyokong sistem 64-bit selari dengan industri yang mula menghentikan sokongan aplikasi 32-bit sejak dua tahun kebelakangan ini. Kesemua CPU ini direka untuk digunakan bukan sahaja untuk telefon pintar tetapi juga PC.

Sementara itu GPU Immortalis-G720 mempunyai 10 teras yang memberikan peningkatan purata prestasi sehingga 15% dan penjimatan tenaga juga sehingga 15%. Tetapi pada waktu yang sama memberikan peningkatan prestasi HDR sehingga dua kali ganda. ARM turut berkata GPU ini akan menyokong ray tracing tetapi dengan lebih baik.

GPU Mali-G720 dan Mali-G620 pula ialah percubaan menawarkan prestasi grafik lebih tinggi pada peranti seperti komputer riba, set kotak TV, dan peranti boleh-pakai. Perbezaannya dengan Immortalis ialah Mali-G720- dilengkapi 6-9 teras manakala Mali-G620 pula menawarkan sehingga 5 teras memproses untuk peranti yang tidak memerlukan kemampuan grafik tertinggi.

Cip pertama menggunakan keluar ARMv9.2 akan diumumkan pada penghujung tahun ini dengan Qualcomm dan MediaTek pasti antara dua pengeluar terawal menggunakannya pada SOC mereka kelak.

Komen