Cari @ Amanz

Suunto menerusi salah satu kemaskini di media sosial rasmi mula mengacah kehadiran peranti boleh-pakai baharu. Melaluinya Suunto Vertical bakal diperkenalkan dengan ketersediaan di Malaysia bermula 9 Jun akan datang.

Semakan kami menerusi laman web rasmi Suunto Malaysia bagaimanapun telah menemui harga jualan rasmi yang terdiri dengan beberapa pilihan harga bergantung pada jenis binaan. Misalnya seperti Suunto Vertical dengan tubuh keluli tahan karat dijual pada RM2,799, sementara itu Suunto Vertical Titanium Solar pula boleh didapati pada RM3,799 seutas.

Suunto Vertical Stainless Steel 

Suunto Vertical dipasarkan sebagai seutas jam tangan tahan lasak yang sesuai dengan aktiviti luar. Skrin adalah sebesar 1.4-inci dengan resolusi 280 x 280 piksel yang bukan sahaja menggunakan kaca Sappire dengan sokongan kalis calar. Malahan turut sama dilengkapi kerangka gentian kaca bersama bezel keluli tahan karat.

Pelbagai sensor kesihatan dan kecergasan terbina turut boleh ditemui pada jam tangan ini. Ia penting bagi membolehkannya menjejak pelbagai data kesihatan harian seperti kadar degupan jantung, jumlah kalori dibakar, pola waktu tidur dan tahap tekanan. Seterusnya lebih 95 mod sukan terbina pula membenarkan pengguna untuk kekal aktif termasuk turut boleh digunakan untuk menyelam.

Suunto Vertical Titanium Solar

Bateri disertakan boleh digunakan sehingga dua bulan dalam mod jam tangan pintar. Menariknya lagi apabila penggunaan sehingga satu tahun turut boleh dinikmati, namun hanya pada variasi yang mempunyai sokongan solar terbina.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd