Cari @ Amanz

Jangan ketawa tetapi tidak seperti tajuk yang kami gunakan, mesin Kurtsystem sebenarnya bukan sebuah roller coaster untuk kuda beriadah selepas berlumba. Sebaliknya Kurtsystem ialah sebuah mesin yang digunakan untuk melatih kuda lumba berlatih tanpa seorang joki di belakangnya. Video di bawah tular di Reddit minggu ini membuatkan ramai tertanya-tanya apakah fungsinya.

Sistem ini dicipta oleh Mehmet Kurt, seorang pelatih kuda dari Turkiye. Pada peringkat awal Kurtsystem terdiri daripada sebuah kereta dengan ruang di hadapan untuk seekor kuda. Menurut Kurt, kuda muda menghadapi kejutan ketika memulakan latihan untuk menjadi kuda lumba. Kesilapan penunggang ketika melatih kuda muda boleh menyebabkan ia mengalami kecederaan yang boleh menghancurkan potensi.

Dengan Kurtsystem latihan dilakukan secara berperingkat dengan pada awalnya mesin ini menarik kuda perlahan-lahan untuk berlari dalam litar berbentuk bujur. Ia menggalakkan kuda untuk selesa berlari di atas litar dan dengan pemberat menggantikan joki pada pelana. Kuda muda akan menjalani latihan selama berbulan-bulan menggunakan Kurtsystem sebelum berpindah ke joki manusia secara perlahan-lahan.

Terdapat sistem menjejak kesihatan dan prestasi pada setiap Kurtsystem yang boleh melatih 10 ekor kuda serentak. Seorang atendan mengawal Kurtsystem untuk menekan butang kecemasan jika berlaku kecemasan dengan sistem akan berhenti perlahan-lahan untuk mengelakkan kecederaan.

Kos membina Kurtsystem mencecah $25 juta (~RM115 juta) tetapi dengan harga kuda lumba dengan baka yang baik boleh mencecah puluhan juta juga, ia mungkin pelaburan masa depan yang boleh menguntungkan pelatih.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd